Insiden kanak-kanak dirempuh kenderaan yang berundur laju ke belakang di Kuala Selangor semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak cedera apabila dirempuh kuat kereta berundur belakang di petak parkir di hadapan sebuah bangunan kedai di Kuala Selangor dekat sini semalam.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu, kata Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin.

Terdahulu video berdurasi 57 saat yang memaparkan insiden itu telah tular di media sosial sejak semalam.

“Siasatan polis mendapati insiden itu berlaku lebih kurang pukul 6.40 petang di kawasan rumah kedai Jalan Eco Grandeur 1/8, Puncak Alam.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan kereta jenis Hyundai Elantra dan pejalan kaki seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ambia berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian berlaku pemandu tersebut dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke Jalan Eco Grandeur untuk mengambil anaknya pulang dari tadika.

Setibanya di tempat kejadian, semasa pemandu hendak mengundur untuk memasuki petak parkir kenderaan di hadapan kedai, dia tertekan pedal minyak secara mendadak sehingga menyebabkan keretanya mengundur dalam keadaan laju.

“Ia telah menyebabkan kereta itu kemudian melanggar seorang kanak-kanak pejalan kaki yang berada di kaki lima kawasan kedai berkenaan dan turut melanggar pintu hadapan premis kedai tersebut.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan dikejarkan ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya lagi.

Pada pemeriksaan polis dengan hospital mendapati mangsa telah disahkan berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan untuk keluar dari Hospital UiTM, Puncak Alam.

Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden itu dan sedang menjalankan siasatan di bawah Sek 43 (1) APJ 1987 oleh Pegawai Penyiasat, Sarjan Zainurul Azilawaty Azizan.

“Sementara itu, pemandu kenderaan itu lelaki tempatan berusia 30-an yang terlibat dalam insiden berkenaan tidak ditahan polis buat masa ini sebaliknya dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast