KUANTAN – Malaysia sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah Eksesais Pacific Partnership 2023 (Eks PP23) bermula 5 sehingga 15 September ini.
Eksesais yang berkonsepkan bantuan kemanusiaan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) itu inisiatif United State Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) dan dilaksanakan oleh United State Pacific Fleet (USPACFLT) di sekitar Kuantan.
Menurut Komander misinya, Kapten Claudine Caluori, ia akan melibatkan seramai 800 orang peserta-peserta dari lapan buah negara membabitkan Australia, Kanada, Chile, Jepun, Republik Korea, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
“Objektif eksesais pada tahun ini adalah untuk meningkatkan keupayaan dan saling khidmat di antara angkatan tentera, agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan negara-negara yang terlibat di dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan HADR.
“Di Kuantan, projek yang dirangka adalah disesuaikan atas permintaan Malaysia di mana kami akan mengadakan pertukaran pakar dalam bidang kesihatan awam dan pencegahan perubatan, perubatan dewasa dan pediatrik, sokongan hidup asas, kuliah pertolongan cemas, penjagaan pergigian dan perkhidmatan veterinar,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pembukaan Eks PP23 oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB) di Grand Ballroom, Swiss Garden Beach Resort di sini hari ini.
Tambah Claudine, anggota Tentera Laut AS dan Republik Korea akan turut bekerjasama dengan rakan sejawatan mereka di negara ini untuk menjalankan kerja naik taraf dan pembaikan sebuah menara air yang membekalkan air ke sekolah, perumahan dan bangunan di persekitarannya.
“Pembaikan ini akan memberi impak langsung kepada persekitaran pendidikan bagi hampir 1,500 pelajar dan guru-guru mereka,” tambahnya.
Untuk rekod, eksesais itu pertama kali dilaksanakan pada tahun 2006 berikutan kejadian bencana tsunami yang melanda Acheh, Indonesia pada akhir tahun 2004.
Penglibatan pertama Malaysia di dalam eksesais ini adalah pada tahun 2016 bertempat di Kuantan, Pahang dan Mersing, Johor serta dikuti pada tahun 2019 di Kuching, Sarawak.
Eks PP23 merupakan kolaborasi bersama diantara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), US Medical Corps, US Agency For International Development, US Coast Guard, 364th Civil Affairs Brigade, US Construction Batalion, Royal Army Medical Corps, Australia Gender Advisor, New Zealand Army, Canadian Army, ROKN Construction Battalion dan ROKN Medical Corps.
Selain itu, eksesais ini juga melibatkan beberapa agensi awam Malaysia iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, International Islamic University Malaysia (I|UM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). -MalaysiaGazette