KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera baharu, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Mohammad sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-22 bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang bersara wajib hari ini.
Pelantikan itu juga menyaksikan Mohammad menjadi Panglima TDM ke-19 dilantik ke jawatan berkenaan selepas kali terakhir adalah Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang berkhidmat sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-20.
Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan di Auditorium Wisma Pertahanan di sini.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.
Mohamad Hassan dalam ucapannya berkata, pelantikan Mohammad adalah atas kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang 36 tahun bersama pasukan.
“Berbekalkan daya kepimpinan yang tinggi, saya percaya beliau akan berupaya meneraju dan memikul amanah bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada dalam kesiap siagaan yang tinggi.
“Kepada Jeneral Tan Sri Affendi, bagi pihak negara dan bangsa, saya ingin mengucapkan terima kasih atas jasa dan bakti sepanjang 43 tahun bertugas,” ujarnya.
Mohammad Ab Rahman, 59, berasal dari Machang, Kelantan menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan sebelum melanjutkan pengajian ke Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja pada tahun 1980.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari University of North Carolina, Amerika Syarikat itu ditauliahkan sebagai pegawai muda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Julai 1987 dan berkhidmat selama 36 tahun.
Antara jawatan yang pernah disandang adalah pegawai memerintah Batalion ke-23 RAMD (23 RAMD), Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Panglima Latihan Tentera Darat, dan Panglima Medan Barat.
Mac lalu, Mohammad dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke 29 menggantikan Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zamrose Mohd Zain yang bersara selepas 42 tahun berkhidmat sebagai pegawai tentera. – MalaysiaGazette