KUALA LUMPUR – Kesemua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor telah menubuhkan Unit MyMudah, yang berperanan melaksanakan semakan peraturan dan bertanggungjawab merancang, melaksana dan memantau penyelesaian berkaitan isu dan cabaran dalam penyampaian peraturan.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkata, ia bersama Kerajaan Negeri Johor sedang menggiatkan usaha meningkatkan kecekapan ekosistem peraturan bagi melonjakkan produktiviti dan daya saing negeri itu.

Selain daripada meningkatkan kecekapan urusan permit pembinaan, Kerajaan Negeri Johor dan MPC turut meneliti rangka kerja bagi memperluaskan skop Johor Fast Lane (JFL) meliputi urusan tanah, pergerakan mesin dan barang dagang, dan penggajian ekspatriat.

Langkah-langkah ini dilihat mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing Negeri Johor sebagai destinasi pilihan pelaburan, perindustrian, dan perniagaan. Impak positif dan kesan limpahan usaha ini dijangka akan menjimatkan masa, tenaga, kos dan penggunaan sumber di pihak industri serta meningkatkan pendapatan, peluang pekerjaan, dan aktiviti ekonomi setempat Negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, dalam ucapan beliau berkata: “Kerajaan Negeri kini lebih agresif dalam melonjakkan prestasi produktiviti Negeri. Pertumbuhan produktiviti mampan merupakan elemen utama dalam meningkatkan daya saing negeri yang memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan Negeri menyambut baik kerjasama strategik dengan MPC bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing Negeri Johor. Model KFL sedang diperluaskan dan dijenamakan sebagai Johor Fast Lane (JFL) yang menjadi antara pemacu utama peningkatan pelaburan dan pembangunan ekonomi negeri,” katanya dalam ucapan di Persidangan MyMudah Peringkat Negeri Johor.

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkongsi sentimen yang sama “MPC amat berharap agar jalinan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor diperkukuhkan bagi mencapai matlamat rangka kerja Ekonomi MADANI. Pendekatan Whole-of-Nation ini akan berterusan sebagai teras pelaksanaan inisiatif peningkatan produktiviti dan daya saing di peringkat nasional, Negeri, dan Wilayah”.

Beliau turut menegaskan bahawa “Ekonomi MADANI meletakkan sasaran bagi Malaysia berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dalam tempoh 10 tahun akan datang. MPC, sebagai Rakan Institut untuk Institute for Management Development (IMD) yang bertanggungjawab menganalisa dan menerbitkan WCR, dan dengan kerjasama rakan-rakan strategik, komited dalam merealisasikan matlamat tersebut”.

Persidangan MyMudah Peringkat Negeri Johor yang dirasmikan oleh Onn Hafiz dengan penyertaan seramai 500 peserta daripada para pegawai kerajaan dan pemain industri di Negeri Johor.

Siri Persidangan MyMudah Peringkat Negeri merupakan inisiatif MPC dalam menyebarluas usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian peraturan dalam membentuk iklim perniagaan yang kondusif. – MalaysiaGazette