Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memakaikan pangkat kepada Panglima Angkatan Tentera Darat ke 30, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan pada Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Darat ke 39 dah Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-30 berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman yang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan percaya dengan kredibiliti dan kemampuan Muhammad Hafizuddeain untuk menerajui ketumbukan Tentera Darat Malaysia (TDM) ke aras lebih tinggi.

“Berbekalkan daya kepimpinan yang tinggi, saya percaya beliau akan berupaya menerajui Tentera Darat dengan baik, dan membawa ketumbukan ini ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Saya amat yakin, perubahan pucuk pimpinan ini tidak akan sekali-kali menjejaskan keteguhan, serta fokus segenap lapisan Tentera Darat, dalam menunaikan tanggungjawab, bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara yang kita cintai ini sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat ke-30 di Auditorium Wisma Pertahanan di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Azly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Abdul Rahman Ayob.

Muhammad Hafizuddeain, 55, dilahirkan di Segamat, Johor dan mendapat pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada tahun 1985.

Beliau kemudian meneruskan kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menjalani latihan pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Sungai Besi bermula pada 19 Ogos 1986 dan seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di dalam Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 30 Julai 1988 sebagai Ketua Platun di Batalion ke-10 RAMD.

Beliau juga menghadiri pelbagai kursus dan pengajian di dalam dan luar negara, antaranya adalah; Diploma Sains Pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Infantri Officer Advance Course di Amerika Syarikat, Command and General Staff College di Amerika Syarikat, Master in Management di Filipina, Sariana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom.

Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah; Pegawai Memerintah Batalion Keempat RAMD, Juruarah Maktab Turus Angkatan Tentera (MITAT), Komandan Pusat Latihan 1 empo;
Tentera Darat, Ketua Pengarah Pembangunan di Cawangan Perancangan dan Pembangunan (P&P) Tentera Darat, Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD). – MalaysiaGazette