Pakar Bedah Terbaik Asia Pasifik, Dr. Mustafa bergambar bersama artis yang melakukan pembedahan bariatrik di Hadramawt Kitchen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 05 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Golongan artis yang pernah melakukan pembedahan bariatrik mengakui kehidupan mereka kini menjadi lebih sihat dan selesa walaupun usia semakin meningkat.

Malah sakit-sakit pada bahagian tubuh yang dialami sebelum ini tidak lagi dirasai sebaliknya mereka kini mampu menjalani kehidupan dengan lebih sihat.

Pengalaman itu dikongsikan penyanyi veteran, Datuk Khatijah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Khaty  memberitahu, dia mahu sentiasa menjalani kehidupan sihat meskipun semakin berusia.

Katanya, setelah mengetahui berat badannya bertambah sehingga 90 kilogram serta sering mengalami muntah-muntah, beliau membuat keputusan untuk melakukan pembedahan tersebut.

Khaty sangat berterima kasih kepada Dr Mustafa Mohammed Taher yang merupakan Pakar Bedah Perunding dan Pakar Usus serta Bariatrik yang telah melakukan pembedahan membuang lemak dalam tubuhnya.

Khatijah Ibrahim

“Saya tidak malu untuk menceritakan perkara-perkara seperti ini kepada masyarakat di luar untuk sama-sama menjalani kehidupan yang lebih sihat selepas menjalani pembedahan ini.

“Buat apa kita ada duit banyak tetapi kita tidak boleh menikmati kehidupan sama seperti orang sihat yang lain.

“Jadi, saya syorkan kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan agar berjumpa dengan Doktor Mustafa untuk membuat pemeriksaan sekaligus mendapatkan rawatan terhadap apa yang patut dilakukan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Pelakon, Zarina Zainuddin pula berkata, penderitaan yang dialaminya akibat sakit tumit kini hilang selepas beliau menjalani pembedahan bariatrik.

Beliau mengambil keputusan melakukan pembedahan itu susulan sakit berkenaan dan bimbang jika dibiarkan akan menjadi semakin parah.

“Bila saya buat medical check up (pemeriksaan perubatan) barulah saya tahu yang saya ada masalah kesihatan yang agak teruk.

“Saya rasakan tumit saya sakit bila berjalan kerana saya ni seorang yang sangat aktif.

Zarina Zainuddin

“Doktor (Dr Mustafa Mohammed) kata saya ada masalah kolesterol yang sangat tinggi. Saya tak tahu pun yang saya ada masalah seperti itu,” katanya.

Selepas membuat pembedahan batriatik, pengetahuannya semakin bertambah dan kini sangat berhati-hati terhadap pengambilan makanan terutama yang mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi.

“Alhamdulillah, tumit saya sekarang ini tak sakit lagi. Saya rasa bersyukur kerana kini saya boleh berjalan seperti biasa, tidak lagi terhoyong hayang seperti sebelum ini,” akuinya.

Sementara itu, penyanyi terkenal, Ziana Zain pula berkata, penderitaan yang dialaminya akibat masalah gastrik kini selesai selepas membuat keputusan untuk menjalani pembedahan bariatrik.

Sebelum ini beliau hanya memahami jika diserang gastrik perlu makan namun ia sebenarnya satu pemahaman salah.

Ziana Zain

“Yang saya tahu kalau sakit (gastrik) mesti makan, sakit sahaja mesti makan, rupanya itu silap.

“Sekarang ini segala masalah yang saya hadapi telah hilang dan saya yakin segala malah kesihatan yang datangnya dari perut boleh diselesaikan dengan melakukan pembedahan bariatrik,” ujarnya. – MalaysiaGazette