Wan Ahmad Fayhsal ADUN Ijok gimik politik puad zarkashi MPN demokrasi UMNO nor salwani Kerajaan Perpaduan Kit Siang Rafizi ringgit SPRM
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmal Kamal dinasihatkan supaya jangan jadi ahli politik yang malas membaca.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Wan Ahmad Fayhsal dan pihak lain yang mengecam keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya membaca 11 alasan pendakwa raya.

Menurut beliau, alasan kelima menyebut pihak pendakwaan tidak mahu dilihat cuai, terburu-buru, pramatang dan membuat pendakwaan tidak lengkap dan pernah dibuktikan berlaku dalam kes yang dihadapi veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebelum ini.

“Alasan keenam pula sebut ia mengganggu reputasi Jabatan Peguam Negara (AGC) seolah-olah diperalatkan oleh pihak tertentu.

“Apakah itu pengakuan setelah Tan Sri Tommy Thomas dan Tan Sri Idrus Harun bersara?” soalnya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Wan Ahmad Fayhsal mengecam keputusan mahkamah terhadap Ahmad Zahid serta menyifatkannya sebagai satu malapetaka untuk negara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.

Mohd Puad menambah, alasan kelapan adalah yang paling signifikan di mana mahkamah telah mengambil kira penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat buku Tommy yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

“Buku itu pengakuan tidak sengaja iaitu wujud ‘konspirasi peringkat tertinggi’,” jelasnya.

Beliau memberitahu, alasan kesembilan pula menyatakan, memandangkan wujud dakwaan pendakwaan terpilih oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini, maka adalah penting bagi Pendakwa Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasatnya.

Mohd Puad turut menempelak Wan Ahmad Fayhsal kerana membangkitkan empat tahun masa terbuang dalam prosiding kes Ahmad Zahid.

“Masa orang lain terbuang kamu tidak fikir pula. Ada kalanya pertuduhan dipinda. Itu berlaku pada kes Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Beliau berpandangan, keputusan mahkamah terhadap Ahmad Zahid itu memberi harapan baharu untuk merungkai isu pendakwaan politik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berharap satu persatu akan terlondeh.

Mohd Puad berkata, reaksi segelintir pihak yang tidak berpuas hati mudah difahami kerana ia melibatkan pemimpin UMNO dan mereka yang memusuhi UMNO tidak mahu parti itu bangkit.

“Mereka juga bias. Mereka diam jika kena batang hidung pemimpin sendiri. Majlis Peguam pun dua kali lima,” jelasnya.

Beliau memberi contoh kes rasuah RM232.5 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pe­merkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wi­ba­wa) membabitkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dalam kes Muhyiddin, hakim kata pertuduhan tidak lengkap. Sebab itu kes gugur. Kenapa Idrus tidak arah buat pindaan?” soalnya. – MalaysiaGazette