Mohd Azhar (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 46 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM70,60 antara 2019 dan 2022.

KUANTAN – Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM70,600 di Mahkamah Seksyen, di sini hari ini.

Mohd Azhar Mohd Yusoff, 53, membuat pengakuan itu  di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Beliau menggangguk faham kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh dua jurubahasa mahkamah dalam tempoh sejam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai berjumlah antara RM100 dan RM5,600 tanpa balasan daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya melalui pindahan wang secara dalam talian ke akaun miliknya antara Mac 2019 sehingga September 2022.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sekitar Temerloh ketika bertugas sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia berpangkat Penguasa Polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan pertuduhan pilihan, beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi kesalahan itu hukuman yang diperuntukkan ialah ipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi

Pada prosiding itu, pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi Rif’ah Izzati Abdul Mutalif, Rasyidah Murni Azmi dan memohon jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan.

Sementara itu, peguam tertuduh, Bob Aramugam dalam rayuannya memohon wang jaminan itu dikurangkan kerana tertuduh menanggung isteri yang tidak beberapa sihat selepas melakukan pembedahan.

Ahmad Zamzani kemudiannya membenarkan ikat jamin RM25,000 dengan tiga syarat tambahan.

Tertuduh diperintahkan supaya melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan bermula September ini, sehingga kes selesai.

Ahmad Zamzani memberitahu tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai dan tertuduh tidak melakukan kacau ganggu saksi pendakwaan.

Kes disebut semula pada 15 November ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette