Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Anak syarikat Fitch Solutions, BMI mengekalkan ramalan harga minyak mentah Brent yang tidak berubah pada purata tahunan US$80 setong bagi 2023, meningkat kepada US$83 setong pada 2024.

Walaupun permintaan menggambarkan ketidakpastian terhadap harga minyak, BMI berkata, pihaknya meramalkan bekalan akan terus memberikan sokongan yang teguh kepada Brent, dengan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) berperanan penting terhadap unjuran.

“Kenaikan harga minyak yang terbaharu telah didorong oleh pengumuman Arab Saudi dan Rusia bahawa kedua-duanya akan melanjutkan kawalan unilateralnya terhadap bekalan, berjumlah 1.3 juta tong sehari sehingga Disember tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Ketika ini, BMI meramalkan output OPEC akan meningkat tahun depan, namun pertumbuhan adalah sederhana pada 367,000 tong sehari bagi tahun ke tahun dan dengan kepelbagaian yang melibatkan pelbagai pengeluar.

BMI berkata banyak ahli OPEC mempunyai kapasiti yang terhad untuk meningkatkan output walaupun pemotongan nominal dikurangkan.

Menurutnya walaupun OPEC+ mengekalkan kawalan yang ketat terhadap bekalannya, pertumbuhan pengeluaran bukan OPEC+ telah berkurangan apabila pertumbuhan Amerika Syarikat (AS) berdepan tekanan yang semakin meningkat.

BMI berkata, tekanan inflasi telah berkurangan kepada beberapa tahap tertentu berikutan aktiviti penggerudian merosot, namun, kos input kekal meningkat terutamanya kos buruh.

“Walaupun kami meramalkan banyak keuntungan bagi beberapa pasaran bukan OPEC+ termasuk Guyana, Brazil, Kanada and China, pertumbuhan juga dijangka menyusut pada 2024, menjadikan pasaran agak seimbang pada sepanjang tahun, secara keseluruhannya,” katanya.

Tanpa mengambil kira trend bermusim, firma penyelidikan itu berkata permintaan minyak fizikal dilihat lemah pada suku akan datang, sejajar dengan kelembapan ekonomi global.

Ramalan semasa BMI menyatakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global pada 2.2 peratus tahun ke tahun pada 2024, hanya sedikit di bawah paras 2.4 peratus yang diramalkannya pada tahun ini.

Menurutnya, kitaran rendah ekonomi dijangka mencatat paras terendah tahun depan, dengan pertumbuhan pulih semula pada tahap yang baik iaitu 3.2 peratus pada 2025.

“Ini bererti banyak ketidaktentuan semasa makro — seperti titik inflasi yang mencapai puncaknya, paras kadar faedah terminal, potensi kemelesetan AS dan zon euro, dan dalam aspek yang lebih luas, masa dan keseriusan kelembapan ekonomi global – akan meninggalkan pasaran pada tahun depan.

“Kami percaya asas makro ternyata kurang mencabar terhadap sentimen pasaran minyak tahun depan, membolehkan sedikit kenaikan harga (walaupun terhad) bagi tahun ke tahun,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast