Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengamal media kini boleh menyemak kelayakan untuk menikmati Insentif Rebat Rahmah.

Jabatan Penerangan menerusi kenyataan berkata, semakan boleh dibuat dengan log masuk ke akaun sistem e-Media Jabatan Penerangan Malaysia di pautan https://emedia.penerangan.gov.my/ sebelum atau pada Ahad ini.

“Sempena Hari Malaysia 2023, pengamal media akan menikmati Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil pada 29 Ogos 2023 yang lalu,” kata Jabatan Penerangan.

Jelasnya, pemberian rebat tersebut terhad kepada bayaran komitmen bulanan sahaja tertakluk kepada terma dan syarat dari syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang terlibat.

Seperti yang diumum sebelum ini, Insentif Rebat Rahmah ditawarkan kepada pengamal media yang mempunyai Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia dan berstatus warganegara Malaysia sahaja.

Insentif itu merupakan tawaran rebat bil telefon pelan pascabayar (postpaid) bagi bil bulan September secara one off.

Ia merupakan simbolik penghargaan kerajaan kepada pengamal media yang secara telus menyebarkan informasi berkenaan usaha kerajaan khususnya berkaitan pakej Rahmah kepada rakyat.

Sementara itu, Jabatan Penerangan menasihatkan agar pengamal media menyemak tarikh luput atau tempoh sah laku kad perakuan masing-masing.

Syarikat telco yang terlibat dalam insentif ini adalah TM (Unifi Mobile), CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications (Yes).- MalaysiaGazette