Shahrulufti Sharif

KUALA LUMPUR – Badan kehakiman dan undang-undang negara ini boleh diperbaharui serta diperbaiki melalui pelbagai langkah, kata Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif.

Kata beliau, antara langkah itu ialah mengasingkan Pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen.

Tegasnya, Putra mencabar kerajaan perpaduan hari ini melaksanakan cadangan itu yang sebelum ini terkandung dalam janji manifesto dan kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (RU14) tahun 2018 dan PRU15 tahun lalu.

“Bagaimanapun, apa yang kita lihat ialah kerajaan hari ini sengaja melambat-lambatkan pelaksanaan cadangan yang dikemukakan parti itu sendiri ketika bergelar pembangkang.

“Dalam konteks ini, kita perlu mengakui penyelesaian kes berprofil tinggi di mahkamah bergantung sepenuhnya kepada kemampuan badan kehakiman dan undang-undang yang ada di negara ini.

“Walaupun begitu, setiap kes berbeza dan bergantung kepada fakta serta keadaan individu dan tindakan atau reaksi pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas beliau, kebebasan badan kehakiman merupakan prinsip penting dalam sistem demokrasi, yang mana semua individu termasuk pemimpin politik dihormati di mata undang-undang.

“Kami juga memahami tuduhan kes melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan yang lain sebelum ini dengan penyalahgunaan kuasa serta korupsi telah mencetuskan keraguan terhadap integriti badan kehakiman dan SPRM di kalangan rakyat.

“Bahkan, sebelum ini pun sudah bertimbun kes yang semua rakyat ikuti dan jelas belum ada kesudahan meyakinkan bahawa Malaysia menuju ke arah lebih baik. Yang jelas nampak, ia semakin merudum dengan pelbagai isu dan angkara.

“Yang jelas, keputusan ke atas Ahmad Zahid yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). Ia mula menjadi topik perbincangan hangat di kalangan rakyat dan media dari pelbagai negara dan dunia,” katanya. – MalaysiaGazette