Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) bersalaman dengan Leftenan Jeneral Polis, Sarawut Karnpanich (kiri) pada program 26th Departmental Review of Joint Malaysia-Thailand Working Committee On Criminal Activities di Shah Alam, Selangor. Foto QURRATU AINI, 7 SEPTEMBER 2023.

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman tidak menafikan Malaysia dan Thailand kini berdepan dengan cabaran sama iaitu melindungi institusi Raja dan ancaman jenayah siber.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bagi tujuan itu, kerjasama antara Malaysia-Thailand akan dipertingkatkan daripada segi pertukaran maklumat dan kerjasama kedua-dua pihak.

“Thailand ada Raja, kita pun ada Raja, Thailand ada ukuran mereka sendiri, kita ada juga ada cara kita sendiri, Thai pun ada masalah, kita pun ada masalah sendiri.

“Kita cuba untuk mencari (penyelesaian) dan berbincang tentang isu serta cabaran yang kita sedang hadapi.

“Pada asasnya, cabaran itu agak sama dan kesamarataan itu tidak lain kerana perkembangan teknologi yang semakin cepat khususnya internet,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan program 26th Departmental Review of Joint Malaysia-Thailand Working Committee On Criminal Activities di Hotel Concorde, di sini.

Dalam mesyuarat, Bukit Aman ada berbincang dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengawal aktiviti jenayah di sempadana kedua-dua negara itu dan satu jawatankuasa khas akan diwujudkan untuk mengatasinya.

“Kerjasama itu memang ada, pertukaran maklumat dan kerjasama antara Malaysia dan Thailand di sempadan memang ada sejak sekian lama.

“Mesyuarat kali ini sebenarnya untuk bawa balik pegawai ke lapangan untuk duduk menyelaraskan dan cuba meningkatkan hubungan itu.

“Ia adalah mesyuarat rasmi tapi hubungan bersemuka lebih bermakna dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Ia cara penguatkuasa undang-undang berjalan,” katanya.

Shuhaily berkata, pihak berkuasa Malaysia tidak boleh bersendirian untuk memerangi jenayah siber kerana kekangan bidang kuasa.

“Kita tak boleh bersendirian, jenayah siber tiada sempadan, ia lebih kepada isu bidang kuasa kepada kami.

“Jika pesalah itu orang Malaysia yang melakukan penipuan terhadap warga Thailand, mereka tidak boleh bertindak di negara.

“Dengan adanya kerjasama ini, ia sangat baik kepada kedua-dua pihak untuk menjalankan tugas,” katanya.

Ditanya tentang kemungkinan untuk mewujudkan jawatankuasa khas memerangi jenayah siber antara dua rantau negara, beliau berkata Bukit Aman perlu berbincang dahulu sebelum menubuhkannya.

“Ketika ini kita bercakap soal jenayah tradisional, tapi kali ini kita ada juga bangkitkan jenayah siber dan berdasarkan perbincangan santai kita sebentar tadi kita ada bangkitkan kepentingan untuk mengadakan jawatankuasa itu untuk memantau jenayah siber.

“Kita capai persefahaman di mana ada dua dunia kepada polis, dunia sebenar dan dunia maya oleh manusia.

“Walaupun dunia sebenar hampir sempurna, tapi orang boleh manipulasinya sebaliknya dunia maya yang dicipta manusia yang tidak sempurna dan banyak kelemahan dalam ruang maya.

“Tiada polis maya dalam dunia maya, itu cabaran yang kita hadapi. Walaupun kita tempatkan polis di dunia siber, timbul pula isu kebebasan maklumat, hak bersuara, yang dipaparkan kepada umum.

“Itu cabaran yang pertama kita kena mendidik dan kemudian meyakinkan orang ramai bahawa ada had dalam semua perkara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette