Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

JOHOR BAHRU – Kutipan undi pos pengundi Malaysia di Singapura bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kurang memberangsangkan.

Sukarelawan Malaysia di bawah inisiatif ‘Vote Malaysia’ Farrah Diyana Mohamad Ali, 35, berkata, setakat ini, hanya dua kertas undi diterima namun berharap jumlah itu akan bertambah pada hari terakhir penyerahan iaitu malam esok.

Beliau berkata, mereka masih menggunakan kaedah sama dengan mewujudkan lima zon pengumpulan meliputi kawasan tengah, timur, barat, utara serta selatan di republik itu dan pengundi hanya perlu menghubungi sukarelawan untuk menetapkan waktu untuk penyerahan undi.

“Kami sudah mula buat kutipan bermula 1 Sept lagi dan akan berakhir esok malam. Untuk PRK kali ini, kami kurang maklum berapa ramai rakyat Malaysia yang akan mengundi namun daripada survei yang kami dapat, jumlahnya sangat sedikit.

“Untuk kali ini, kami akan menggunakan pengangkutan darat iaitu pengangkutan sendiri untuk menghantar kertas undi ke Dewan Jubli Intan, Johor Bahru dan kami akan keluar awal pagi bagi mengelakkan kesesakan jalan raya,” katanya kepada Bernama.

1thirdmedia Movement adalah antara gerakan yang menjalin kerjasama dengan UNDI18, sebuah gerakan belia Malaysia, bagi membantu mengutip undi pos pengundi Malaysia yang bekerja dan menetap di Singapura.

Ia telah melakukan perkara yang sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Pilihan Raya Umum Ke-15 dan PRN di enam negeri pada Ogos lepas.

Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan sejumlah 304 kertas undi pos telah dikeluarkan bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Jumlah itu terdiri daripada 226 kertas undi bagi Parlimen Pulai dan 78 bagi DUN Simpang Jeram.

PRK bagi Parlimen Pulai serta DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

SPR menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi diadakan serentak Sabtu ini. – BERNAMA