Gambar hiasan

KUALA LUMPUR  – Seorang bapa yang didakwa merogol anak tirinya di kediamannya di sini sejak 2020 akhirnya berjaya diberkas polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek merupakan seorang penghantar barang disyaki melakukan perbuatan terkutuk kepada mangsa berusia 15 tahun itu di dua lokasi berbeza di sebuah rumah kedai dan rumah pangsa sejak tahun 2020.

Katanya, mangsa yang kini tidak bersekolah akibat masalah kewangan dalam laporan polis bertarikh 5 September lalu mendakwa dalam kejadian pertama pada Januari 2020, semasa berada di dalam bilik bersama dengan adik lelaki di rumah kedai, Jalan Pandan Indah telah didatangi bapa tiri dari arah belakang lalu memeluk badan, meraba buah dada serta merogolnya ketika berusia 13 tahun.

“Dalam kejadian kedua pada 28 Ogos tahun ini, pada jam lebih kurang 7.30 malam, suspek sekali lagi didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu ke atas kanak-kanak itu yang berada di dapur rumah pangsanya di Taman Saga dengan datang dari arah belakang sebelum telah meraba dan meramas buah dada mangsa tersebut.

“Kemudian suspek bertindak berani mengulangi perbuatan jijik itu ke atas anak sulung daripada empat beradik itu buat kali terakhir pada 30 Ogos lalu dengan meraba dan meramas buah dada pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, bertindak atas laporan polis, mangsa pada Khamis lebih kurang pukul 10.30 malam, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah pangsa di Taman Saga di sini dan menangkap seorang suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun merupakan bapa tiri pengadu.

Beliau memberitahu semasa kejadian, ibu mangsa yang bekerja sebagai penjual aiskrim bersama adik kedua mangsa telah berada di dobi untuk mencuci pakaian dan pada awalnya tidak percaya dengan dakwaan sebelum melihat kesan lebam di badan anaknya itu.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah manakala ujian air kencing menunjukkan negatif dadah.

“Siasatan lanjut pihak polis mendapati suspek menafikan merogol atau mencabul pengadu (kanak-kanak) sambil mendakwa kononnya pengadu sengaja mereka-reka cerita kerana suspek tegas mendidiknya.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi tadi dan dibenarkan direman selama seminggu bermula hari ini sehingga 14 September ini dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat bawah Seksyen 376 Kanun keseksaan kerana kesalahan merogol yang membawa hukuman hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.-MalaysiaGazette