Ahli Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali bercakap pada Seminar Dasar Gaji Minimum ke Arah Gaji Progresif dan Ekonomi Madani yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 08 SEPTEMBER 2023.

BANGI – Kerajaan dinasihatkan untuk menumpukan kepada gaji minimum dan menangguhkan cadangan pelaksanaan gaji progresif, kata Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Ahli Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) itu berkata, selain itu kerajaan perlu melakukan penelitian terhadap cadangan tersebut dan adalah lebih baik untuk terus fokus kepada pelaksanaan gaji minimum.

“Gaji progresif ini belum sampai masanya untuk dilaksanakan pada masa ini, kita masih lagi berhadapan dengan masalah gaji minimum untuk pekerja-pekerja, dan kohot atas gaji minimum RM1,500.

“Pada pandangan saya, misi ekonomi Madani memang cantik di atas kertas tapi realitinya, satu daripada masalah ialah merosotnya syer bahagian pekerja. Sekarang 32.4 peratus bahagian kepada pekerja, RMK-12 mensasarkan syer ini sepatutnya pada 2025 meningkat kepada 40 peratus pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 2030 angka ini akan meningkat kepada 45 peratus,“ katanya kepada media.

Anuwar berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Seminar Dasar Gaji Minimum Ke Arah Gaji Progresif dan Ekonomi Madani di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Turut hadir mantan Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof. Emiritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid; Ketua Perangkaan Malaysia Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dan Pengerusi Workers Institute of Empowerment Selangor (WISE), Syed Shahir Syed Mohamud.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Kabinet akan membincangkan Dasar Gaji Progresif bagi memperhalusi pelaksanaannya secara berperingkat.

Langkah itu, kata Anwar, bagi meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif dasar yang akan ditentukan mengikut kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.

Dalam pada itu, Prof Emeritus Anuwar berkata, pelaksanaan gaji minimum yang digerakkan kerajaan boleh dianggap sebagai pelaksanaan gaji progresif jika memberikan perhatian pendapatan atas paras gaji minimum.

“Kalau gaji minimum naik 20 peratus, mengapa mereka yang berpendapatan lebih RM1,500 tidak meningkat juga, banyak perkara yang harus kita lihat dengan lebih mendalam.

“Model gaji progresif seperti yang dicadangkan perlu penelitian lebih mendalam, dan harus beri perhatian kepada gaji minimum dan keupayaan majikan untuk membayar gaji minimum,” katanya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Mohd Uzir Mahidin bercakap pada Seminar Dasar Gaji Minimum ke Arah Gaji Progresif dan Ekonomi Madani yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 08 SEPTEMBER 2023.

Sementara itu, Ketua Perangkaan Malaysia Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pelaksanaan gaji progresif tidak bersifat paksaan dan lebih kepada aspek perbincangan diantara pemegang taruh dan kerajaan.

Jelasnya, pelaksanaan gaji minimum mempunyai kelemahan yang perlu ditambah baik dan ia menyebabkan pelaksanaannya menjadi rujukan kepada semua peringkat.

“Kita akan pergi ke peringkat perbincangan melibatkan peringkat Dewan Rakyat yang akan memperhalusi pelaksanaan berkenaan.

“Saya jangkakan samada ia sesuai atau tidak bergantung kepada bagaimana sesi libat urus itu berjalan dan bagaimana semua pihak melihat bagaimana nak selesaikan isu pendapatan pekerja yang sekian lama tidka berlalu campur tangan kerajaan adakah ianya boleh dibiarkan pasaran yang selesaikanya,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Isunya simple jaa…tak perlu ada Profesor pun…kerajaan tak ada duit. Dua sebab utama tak ada duit ialah pertama kerana kerajaan sejak Mahathir naik semula sampai Muhyidin cuma tahu belanja saja. Habis dana yg dikumpulkan oleh DS Najib mereka belanjakan..harta negara bukan ditambah, tp dijual. Yg kedua sebab bodoh ikut Mahathir dgn hapuskan GST demi politik sempit. Satu dunia guna sistem cukai GST, Malaysia jaa pakai sistem lapuk sebab ikut idea Mahathir bodoh.Skrg kerajaan tak ada duit padanlah muka…

Comments are closed.