Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) telah mengemukakan usul tergempar ke Dewan Rakyat berhubung keputusan menarik balik 47 pertuduhan mahkamah ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Usul berkenaan dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagi menuntut penjelasan Peguam Negara berhubung perkara berkenaan.

“Saya telah menghantar usul tergempar jam 830 pagi tadi untuk Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 11 September ini untuk tangguhkan mesyuarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) bagi memberi laluan untuk rakyat dapatkan penjelasan daripada Peguam Negara berhubung keputusan menarik balik 47 pertuduhan mahkamah ke atas YAB Timbalan Perdana Menteri.

“Usul ini adalah mustahak, punya kepentingan ramai demi memelihara integriti kerajaan persekutuan dan kedaulatan undang-undang Malaysia,” jelas Wan Ahmad Fayhsal.

Surat bertarikh 7 September dan diserahkan kepada Yang d-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul itu rata-ratanya memohon penjelasan Peguam Negara mengenai perincian dan asas keputusan yang dibuat terhadap Ahmad Zahid.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, penjelasan itu dituntut pembangkang kerana ia melibatkan imej baik serta kredibiliti institusi Peguam Negara.

“Penjelasan segera dan tuntas daripada Peguam Negara dapat melenyapkan persoalan serta pertikaian awam terhadap dahuluan yang telah dilakukan Peguam Negara.

“Usul ini juga penting bagi memastikan tiada campur tangan dari pihak kerajaan khususnya pimpinan tertinggi negara dalam kes-kes berpforil tinggi yang melibatkan ahli politik apatah lagi seroang anggota pentadbiran kerajaan persekutuan,” katanya lagi.

Untuk rekod, sidang mesyuarat khas penggal kedua Parlimen ke 15 (PRU15) akan berlangsung selama enam hari bermula 11 hingga 19 September depan.

Pada Isnin lalu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilepas tanpa dibebaskan atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu. – MalaysiaGazette