Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendakwa Kerajaan Perpaduan cuba memutihkan imej kluster mahkamah melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, usaha melepaskan tanpa membebaskan (DNNA) dilihat kini menjadi keutamaan kepada kerajaan.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan PH-BN kerana menyalahguna kuasa dan cuba memutihkan imej kluster mahkamah yang melibatkan pemimpin PH-BN.

“Nampaknya perkara ini sudah menjadi keutamaan PH-BN. Sebaliknya isu pemulihan ekonomi sudah tidak penting seperti masalah kekurangan beras putih berlaku selama dua bulan dan penurunan jumlah eksport selama lima bulan berturut-turut tidak ditangani dengan cekap dan efisen,” katanya menerusi kenyataan.

Demi membuktikan ketelusan kerajaan tersebut Dominic menggesa Jabatan Peguam Negara supaya menghentikan segala amalan menarik balik kes.

“Biar semua kes yang melibatkan pemimpin politik seperti rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram, seksual dan sebagainya dibicarakan dalam prosedur kehakiman yang bersih dan bebas.

“Ia memberi peluang kepada mangsa dan rakyat untuk menilai dan paling penting mendapat keadilan,” katanya lagi.

Semalam dilaporkan Mahkamah Majistret Shah Alam melepas tanpa membebaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil daripada dakwaan melakukan serangan seksual.

Keputusan berkenaan susulan tindakan pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik pertuduhan selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang difailkan pihaknya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. PN lagi banyak kluater mahkamah. Pengerusi PN dilepas bebas dari pertuduhan sakau berbillion ringgit tak pulak kau bising. Apa punya orang kau ni. Entah entah kau pun dapat banyak. Tu yang sokong mati matian.

  2. Parti yg dh tenggelam dn ditolak pengundi pru15 dan prn baru2 ni masih tak segan nk angkat kepala. Gi masuk gua n bertapa dulu. Bila tiba pru16 baru keluar gua balik tp terus menghuni dan mereput dlm gua lg bagus.

Comments are closed.