Wan Azlan Wan Mamat. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lelaki semalam bagi membantu siasatan kes penemuan mayat lelaki dalam sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan di Puchong, Selangor pada 6 September lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, hasil semakan lanjut mendapati kesemua suspek yang berusia antara 27 hingga 33 tahun itu mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Menurut Wan Azlan, pada jam 12.55 tengah malam 6 September lalu Balai Polis Bukit Puchong menerima panggikan yang memaklumkan penemuan sebuah kereta yang berbau busuk diletakkan di tepi jalan dalam keadaan berkunci.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan mayat lelaki terbaring ditutup dengan jaket di tempat duduk belakang kereta itu.

Siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun  dan mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah. – MalaysiaGazette