legasi Salahuddin
PRK Parlimen Pulai merupakan pilihan raya ketujuh yang ditandingi Suhaizan Kayat.

RAMAI yang berpandangan bahawa kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dimenangi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini atas faktor kecemerlangan dan personaliti Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Salahuddin menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) selama 10 penggal di kerusi Parlimen Pulai apabila menewaskan penyandang, Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan majoriti tipis 3,226 undi.

Bekas Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu sekali lagi menewaskan Nur Jazlan selain calon Pas, Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas, Yap Keng Tak di kerusi yang sama pada PRU14 dengan majoriti yang lebih besar iaitu 28,924 undi.

Beliau juga berjaya mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram untuk penggal kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 walaupun ketika itu gelombang penolakan terhadap PH amat kuat.

Melihat kepada keperibadian Salahuddin yang gigih bekerja serta dihormati kawan dan lawan, maka tidak hairanlah beliau mampu meyakinkan pengundi untuk terus memberi mandat kepadanya dan PH sebelum ini.

Dalam pilihan raya kecil (PRK) esok, keupayaan dua calon PH iaitu Suhaizan Kayat yang bertanding di kerusi Parlimen Pulai dan Nazri Abdul Rahman di kerusi DUN Simpang Jeram untuk meneruskan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Salehuddin akan diuji.

Sudah tentu misi itu agak berat untuk dipikul memandangkan Salahuddin telah menetapkan penanda aras yang agak tinggi dalam berkhidmat untuk rakyat dan negara.

Sebelum ini, Suhaizan pernah bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Parit Sulong (PRU11) dan Simpang Renggam (PRU13) serta tiga kerusi DUN iaitu Kempas (PRU12 dan PRU13), Kukup (PRU14) dan Pulai Sebatang (PRN Johor).

Walaupun agak popular di pentas politik nasional, bekas Speaker DUN Johor itu enam kali tewas kepada calon-calon BN di kesemua lima kerusi yang pernah ditandinginya.

legasi Salahuddin
Nazri Abdul Rahman (kiri) bertanding kali pertama pada PRK DUN Simpang Jeram. – Gambar: Facebook

Keupayaan Nazri yang juga bekas jurutera pihak berkuasa tempatan (PBT) pula belum diketahui kerana PRK DUN Simpang Jeram merupakan pilihan raya pertama yang disertainya.

Mereka mempunyai kelebihan selaku calon-calon yang mewakili parti pemerintah namun nasib mungkin tidak menyebelahi mereka sekiranya gelombang hijau yang berlaku pada enam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini melanda Pulai dan Simpang Jeram.

Cabaran daripada calon-calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Zulkifli Jaafar di Pulai dan Dr Mazri Yahya di Simpang Jeram tidak boleh dipandang remeh.

Isu-isu seperti perkembangan terbaharu kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin-pemimpin PH dan BN, kekurangan bekalan beras tempatan serta harga barang yang semakin tinggi mungkin ‘ditunggang’ oleh PN untuk mempengaruhi sokongan pengundi.

Sama ada Suhaizan akan berjaya menjadi wakil rakyat selepas enam kali mencuba dan Nazri menang dalam cubaan sulungnya, ia akan ditentukan oleh para pengundi esok.

Nasib mungkin menyebelahi mereka sekiranya majoriti pengundi masih belum melupakan jasa Salahuddin sekali gus memberi mandat kepada Suhaizan dan Nazri untuk meneruskan legasi kecemerlangan Allahyarham. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast