Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Satu pasukan khas ditubuhkan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menyiasat dakwaan kemungkinan berlaku kelemahan tadbir urus berkenaan pendaftaran nombor plat klasik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menterinya, Anthony Loke berkata, langkah itu susulan maklumat tersebut yang terkandung dalam dokumen JPJPandora Papers.

“Saya telah mengetengahkan perkara tersebut dalam mesyuarat pasca Kabinet hari ini dan mengarahkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas di Kementerian Pengangkutan.

“Pasukan petugas khas tersebut telah diamanahkan untuk menyiasat dakwaan tersebut dan juga mengesyorkan penambaikan untuk memperkasakan ketelusan proses pendaftaran nombor plat klasik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anthony, pasukan khas itu akan dianggotai Unit Integriti Kementerian Pengangkutan.

Malah beliau turut mengarahkan sistem JPJeBid diperkukuhkan.

“Dalam mesyuarat hari ini, saya juga telah mengarahkan JPJ untuk memperbaiki sistem JPJeBid yang menghadapi kekangan kapsiti pada waktu puncak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette