Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

MELAKA – Tindakan seorang peniaga cendol menunjukkan isyarat lucah jari tengah terhadap anggota polis berpakaian awam yang sedang membuat rondaan cegah jenayah membawa padah apabila ditahan malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan turut bertindak menghalang tugas penjawat awam apabila enggan menunjukkan kad pengenalan diri selepas diminta anggota polis terbabit menunjukkan kad kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku ketika pengadu anggota polis berpangkat koperal dan seorang lagi anggota sedang bertugas melakukan rondaan dan pemantauan dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Ayer Keroh.

“Sebaik sampai di persimpangan Jalan MITC – Ayer Keroh Lama berhampiran Dewan Bestari, sebuah kereta dari arah belakang membunyikan hon dan mengulanginya seperti wujud rasa tidak puas hati.

“Apabila sampai di selekoh Klinik Kesihatan Ayer Keroh, kereta suspek telah memotong kenderaan pengadu sambil membuka tingkap menunjukkan isyarat lucah kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, anggota polis berkenaan kemudian mengejar kereta suspek dan telah memperkenalkan diri sebagai polis sebelum mengarahkan suspek berhenti di tepi jalan sehingga dia berjaya ditahan berhampiran simpang lampu isyarat Bukit Beruang.

“Pengadu sekali lagi menunjukkan kad kuasa PDRM dan meminta butiran diri suspek namun dia enggan bekerjasama menyebabkan dia terpaksa ditangkap kerana telah menghalang tugas penjawat awam.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif Methamphatamine selain turut mempunyai lapan rekod lampau berkaitan dadah dan khianat,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di Bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette