Lokimala menghembuskan nafas terakhir pada 10.54 pagi Jumaat dan akan ditanam di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang di Temerloh

TEMERLOH – Setelah menderita kerana sakit tua selama 33 tahun, gajah tertua di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang meninggal dunia semalam pada usia 86 tahun.

Lokimala yang merupakan ketua gajah di situ telah berjasa sebagai denak dibawa masuk ke Malaysia dari Assam, India pada 27 Jun 1974 dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.54 pagi semalam.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, haiwan dengan berat lebih tiga tan itu akan ditanam dalam kawasan pusat konservasi itu.

”Tahap kesihatan Lokimala semakin merosot sehingga tidak dapat berdiri lagi dan pernafasannya semakin pelahan dan mati di PKGK.

”Gajah Asia berkenaan dipercayai mati akibat sakit tua dan kita dalam proses melakukan bedah siasat sebelum ditanam dalam masa terdekat.

“Lokimala akan ditanam dahulu barulah apa-apa proses seterusnya termasuklah pengambilan tulang dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ketika hanyatnya haiwan betina itu membantu Unit Kebajikan Gajah dan Unit Pengurusan Gajah sebelum menyertai pasukan PKGK sebagai gajah denak yang terbabit dalam operasi memindahkan gajah liar yang ditangkap di Semenanjung Malaysia.

Difahamkan Lokimala dibawa masuk ke negara ini bersama tiga lagi gajah dari India bernama Ganesh, Lal Bahadul dan Paul Bahadul.

Lebih membanggakan Lokimala pernah terbabit dalam operasi memindahkan 150 ekor gajah liar di dalam negara termasuk operasi di Merbau Berdarah di Selangor dan Operasi di Tasik Kenyir, Terengganu.

Namun khidmat gajah denak yang terkenal dengan sifat mudah dikawal, jinak, dan rajin terpaksa dihentikan selepas haiwan tersebut mengalami masalah penglihatan dan faktor usia sejak tahun 2007.

Kehidupan gajah itu mencatat sejarah tersendiri apabila kesemua ‘mahut’ senior yang menjaga Lokimala juga telah bersara setelah menjaga gajah berkenaan lebih 30 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast