tanah Melayu Apandi Perlembagaan
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Timbalan Penerangan PKR, Razeef Rakimin didakwa jahil apabila menyifatkan kecenderungan Tun Dr Mahathir Mahathir yang terlalu fokus kepada perindustrian dan pengabaian kepada sektor pertanian menyebabkan timbul isu bekalan beras pada hari ini.

Mahdzir Ibrahim dari Sekretariat Tanah Air mendakwa trend menyalahkan Mahathir dalam pelbagai isu, adalah cara mudah untuk menutup kelemahan sendiri.

Jelasnya, bekas perdana menteri itu dipersalahkan dalam banyak perkara – dari isu jalan raya sesak, kereta banyak, isu perundangan dan mahkamah, isu kedaulatan wilayah, isu kaum hinggalah yang terbaharu, isu padi dan beras.

Hakikatnya, dakwa beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku perdana menteri sekarang masih gagal menyelesaikan isu itu dan Razeef menggunakan dakwaan semberononya ini, untuk menutup kegagalan itu.

“Untuk rekod, Tun Mahathir amat konsisten membela nasib orang Melayu sejak PM-4 lagi. Keprihatinan ini adalah kerana sebahagian besar orang Melayu yang miskin, terlibat dalam sektor pertanian, baik perladangan mahupun penternakan.

“Mahathir sebagai perdana menteri acap kali menggesa petani, peladang mahupun penternak agar memajukan perusahaan mereka menggunakan teknologi.

“Terbaru, ketika Mahathir sebagai PM ke-7 beliau telah sarankan agar penanaman padi secara estet perladangan dengan penggunaan teknologi. Cadangan ini bukan sahaja untuk meningkat jumlah pengeluaran padi, malah kaedah itu dapat membantu meningkatkan hasil petani. Silalah buat sedikit kajian sebelum menyalahkan orang lain,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bahkan, tambah Mahdzir, sebelum Mahathir mengakhiri jawatannya sebagai perdana menteri, beliau telah dianugerahkan Bapa Pertanian Moden Malaysia pada tahun 2020 sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam sektor pertanian moden di Malaysia.

“Jika Razeef beranggapan, Mahathir perlu dilihat bergambar sedang menanam padi sebagai bukti Tun M meyelesaikan masalah bekalan dan harga beras di Malaysia, maka beliau seorang yang jahil.

“Usaha mana-mana perdana menteri adalah bersifat makro, Tun secara makro, dengan caranya meletak dan memajukan sektor pertanian menerusi keupayaan teknologi agar masalah bekalan dan harga barangan pertanian dapat diselesaikan oleh kementerian, agensi dan petani,” ujarnya.

Menurut Mahdzir, adalah lebih baik Razeef dan Anwar mengambil cadangan Mahathir ini untuk memajukan industri pertanian hingga boleh menyelasikan isu bekalan dan harga keperluan itu, bukan menyalahkan orang lain.

”Jika belum berhasil, lebih baik dia (Razeef) diam dan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya lagi.

Razeef dalam kenyataannya semalam berkata, sebenarnya apa yang berlaku hari ini boleh dielakkan jika pemimpin terdahulu mengambil tindakan tepat terutama berkait keterjaminan makanan serta infrastruktur asas. Ini meliputi perancangan dan kesan untuk 20 ke 30 tahun mendatang.

Sejak era pentadbiran Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4, pembangkang telah menyatakan perlunya keseimbangan diantara pembangunan perindustrian dan pertanian.

Ini setelah beberapa negara maju pada ketika itu terpaksa bergantung kepada bekalan import dan ini sangat merisaukan terutama untuk 20 ke 30 tahun mendatang. Apatah lagi harga bekalan yang diimport diluar bidang kuasa kerajaan untuk kawal.

Kecenderungan Mahathir yang terlalu fokus kepada perindustrian dan pengabaian kepada sektor pertanian mulai dirasai kesannya terutama permasalahan memenuhi kehendak tempatan.

Malah negeri yang terkenal dengan jolokan ‘jelapang padi’ juga tidak berperanan setelah ia dijadikan pusat perindustrian termasuk pembukaan Kulim Hi-Tech, kata Razeef. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast