KUALA LUMPUR – Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan memandangkan sentimen yang lemah menjelang terbitnya laporan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Isnin.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Dr Sathia Varqa berkata, pemain pasaran sedang menunggu petunjuk baharu didorong oleh laporan rasmi terkini penawaran dan permintaan bagi komoditi itu.
“Pasaran menjangkakan data MPOB menunjukkan penurunan dengan stok akhir bulan Ogos diunjur meningkat kepada paras tertinggi enam bulan,” katanya kepada Bernama.
Persatuan Minyak Sawit Malaysia baru-baru ini melaporkan pengeluaran MSM melonjak 11.29 peratus bulan ke bulan kepada 1.80 juta tan pada Ogos 2023.
Oleh itu katanya, jangkaan paras stok yang meningkat di negara ini akan menyumbang ke arah sentimen pasaran yang lebih lemah.
Bagi minggu urus niaga yang baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya lebih rendah di tengah-tengah kelemahan niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), ekonomi China yang lembap dan kebimbangan paras stok yang meningkat.
Bagi asas mingguan, kontrak September 2023 turun RM180 kepada RM3,730 setan, Oktober 2023 susut RM237 kepada RM3,752 setan, dan November 2023 jatuh RM200 kepada RM3,830 setan.
Kontrak Disember 2023 jatuh RM188 kepada RM3,879 setan, Januari 2024 susut RM172 kepada RM3,918 setan, dan Februari 2024 turun RM158 kepada RM3,947 setan.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 270,010 lot daripada 208,227 lot pada minggu sebelumnya dan kepentingan terbuka meningkat kepada 272,970 kontrak daripada 208,791 sebelum ini.
Harga MSM fizikal untuk September Selatan merosot RM130 kepada RM3,800 setan daripada RM3,930 setan pada minggu sebelumnya. – BERNAMA