Jamaludin anak kelahiran Bentong merupakan bekas Pemangku Pengarah Urusan TRIpic Berhad. - Foto UMNO Bentong

KUALA LUMPUR – Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang akan diadakan pada 7 Oktober depan kini kian terasa.

Biarpun gendang pilihan raya baru sahaja dipalukan namun siapa yang bakal bertanding bagi calon Barisan Nasional (BN) masih menjadi tanda tanya.

Sehingga kini, sebanyak enam nama bagi pemilihan calon telahpun disenarai pendek oleh Barisan Nasional (BN) Pahang untuk bertanding bagi PRK Dun Pelangai.

Terdapat beberapa calon merupakan anak tempatan Bentong dilihat berpotensi terdiri daripada tokoh korporat, kepimpinan UMNO Bentong, wanita, pemuda dan juga puteri.

Antara nama yang disebut- sebut adalah dalam senarai adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Jamaludin Buyong.

Jamaludin, 60, yang juga anak kelahiran Bentong merupakan bekas Pemangku Pengarah Urusan TRIpic Berhad.

Beliau mempunyai kelulusan Sarjana Fasiliti Sains di Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Institut Teknologi Mara (ITM).

Selain Jamaluddin, nama-nama lain yang dipertimbangkan adalah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh, Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Hazraf Ali Hasan dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Bentong, Fadliyatun Ahmad.

Dua lagi nama lain turut tersenarai adalah bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Datuk Ekmal Hamid Zakaria dan Datuk Khairuddin Yaakob.

Bagaimanapun, nama calon BN yang akan bertanding di PRK DUN Pelangai akan diumumkan dalam satu majlis pada 17 September ini.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober adalah hari pengundian bagi PRK DUN Pelangai.

Pada PRU15, Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya itu manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi) – MalaysiaGazette