Lokman (kanan) bercakap dengan dua remaja perempuan yang ditahan dalam Ops Khas Motosikal di Butterworth, Pulau Pinang awal pagi tadi.

BUTTERWORTH – “Ini motosikal kekasih saya, dia kini berada di Terengganu bagi acara pemotoran dan saya tunggang kenderaan ini tanpa pengetahuannya”.

Itu alasan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ketika ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Khas Motosikal di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 1 hingga 6 pagi itu turut membongkarkan remaja yang datang bersama rakannya sejauh 38 kilometer dari Sungai Petani, Kedah itu tiada lesen memandu.

Remaja berkenaan turut dikenakan kompaun.

Lebih malang, apabila motosikal milik lelaki yang didakwa kekasihnya itu tiada cukai jalan, insurans selain motosikal diubah suai secara melampau dipercayai bagi tujuan berlumba.

Jelas wanita yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di negeri Jelapang Padi itu, dia hanya ke Butterworth untuk makan bersama rakannya sebelum merayu agar motosikal jenis Yamaha Y15 itu tidak disita.

Bagaimanapun, rayuannya tidak diterima susulan ia membahaya nyawa penunggang sendiri sekiranya terlibat dalam kemalangan.

Dua remaja lelaki berkenaan memberi alasan menunggang motosikal bapa mereka.

Dalam operasi sama, JPJ turut menyita dua buah motosikal ditunggangi dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 15 dan 16 tahun.

Dua remaja lelaki itu didapati menunggang motosikal bapa mereka dan memberi alasan datang ke kawasan berhampiran untuk memancing namun tiada sebarang perkakasan bagi aktiviti tersebut bersama mereka.

Lokman.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, sebanyak 16 motosikal disita manakala 450 notis keluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Tujuan kita buat operasi ini bukan untuk menghukum tapi bagi memastikan pematuhan leselamatan jalan raya khusus dalam kalangan penunggang motosikal,” katanya. – MalaysiaGazette