Ahmad Zahid Hamidi. Foto MUHD NA’IM, 10 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengemukakan senarai nama Jawatankuasa Pasukan Khas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang akan ditubuhkan kelak bagi menyiasat buku Tan Sri Tommy Thomas kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin All Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan baginda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala butiran senarai nama lengkap itu akan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi tujuan itu.

“Sebelum ini Kabinet telah meluluskan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) namun asasnya dulu ada taskforce telah diwujudkan, tetapi Tommy  (bekas Peguam Negara) telah ambil tindakan undang-undang terhadap ahl-ahli taskforce itu.

“Maka, asas kepada butiran yang terdapat dalam taskforce itu mungkin boleh dijadikan sandaran oleh ahli RCI baharu baharu yang masih belum dilantik lagi kerajaan sekarang.

“Tetapi, saya merasakan bahawa Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi (Azalina Othman Said) akan teliti dan sediakan senarai nama-nama ahli jawatankuasa itu untuk dikemukakan kepada Kabinet nanti untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk RCI ini menyegerakan tugas mereka,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional itu berkata demikian selepas ditemui media selepas hadir dan merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-15 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kes sama sebelum ini, Azalina berkata, kerajaan telah menyatakan persetujuan penubuhan RCI bagi meneliti secara menyeluruh isu berkaitan integriti serta kebebasan kehakiman dan perundangan negara.

Buku tulisan bekas Peguam Negara itu bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” diterbitkan pada Januari 2021 mengundang kritikan beberapa pihak, termasuk Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun serta beberapa laporan polis dibuat mengenainya.

Antara lain, Thomas mendakwa dalam bukunya bahawa beliau mengadakan perbincangan bersama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika kedua-duanya dalam kerajaan, dalam melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.- MalaysiaGazette