Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bersalaman bersama perwakilan yang hadir pada Persidangan Parti DAP 2023 di Hotel Putrajaya Marriott, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Slogan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP bukan bertujuan untuk menghapuskan kedudukan orang Melayu di negara ini, kata Anthony Loke Siew Fook.

Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP itu berkata, slogan tersebut hanya stigma lama yang dimainkan seteru politiknya sebelum ini.

“Malaysia untuk rakyat Malaysia, kalau Malaysia bukan untuk rakyat Malaysia, Malaysia untuk siapa?

“Jangan kita terlalu terperangkap dalam satu paradigma lama. Apabila kita sebut Malaysia untuk rakyat Malaysia, maka kita ini nak menghapuskan kedudukan orang Melayu.

“Hari ini secara realiti politiknya, saya percaya demografi dan fakta politiknya, kedudukan orang Melayu terjamin kerana pengundi Melayu lebih dari 65 peratus di seluruh negara.

“Jadi tiada sebab orang Melayu perlu bimbang dan takut kepada DAP,” katanya berucap pada Persidangan Kebangsaan DAP 2023, di Hotel Marriot, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyarankan DAP menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan Malaysian Malaysia dalam perlembagaan parti itu.

Nur Jazlan berkata, tiada cara lain untuk meyakinkan orang Melayu bahawa DAP hari ini sudah berbeza dari sebelum ini.

Beliau berkata, dua agenda itu menjadi trauma kepada orang Melayu dan membuatkan mereka tidak boleh menerima perjuangan DAP.

Dalam pada itu, Loke menegaskan bahawa parti itu setia kepada perjuangan dan rakan sekutunya, jauh sekali bertindak khianat.

“DAP adalah parti yang setia kepada perjuangan, rakan, kita tidak akan cucuk dari belakang.

“Kita bukan parti yang pagi cakap satu, malam cakap lain.

“Kita tak berani mengeluarkan apa-apa fatwa, kita adalah parti berpaksikan kepada prinsip perjuangan sosial demokrasi, kita mahu rakyat kita hidup dengan baik,” katanya.

Katanya lagi, orang Melayu tidak perlu takut kepada DAP kerana parti itu tidak bermusuh dengan mana kaum dan agama.

“Melayu bukan musuh kepada DAP, DAP pun bukan musuh kepada orang Melayu, dalam kalangan kita ada pemimpin Melayu, ada ahli Melayu.

“Perlembagaan parti kita ini bukan eksklusif kepada mana-mana satu kaum.

“Malah buat kali pertama selepas PRU15, kita ada tiga ahli Parlimen Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast