Seorang wanita maut terlibat dalam nahas membabitkan enam kenderaan di KM 164.8 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Bukit Minyak-Sungai Bakap hari ini.

NIBONG TEBAL – Seorang terkorban manakala 20 lagi dilaporkan cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk dua buah treler di Kilometer 164.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Bukit Minyak-Sungai Bakap dekat sini, hari ini.

Mangsa maut dalam kejadian jam 4 pagi itu disahkan seorang wanita tempatan berusia 60-an yang menaiki kereta jenis Toyota Corolla.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.30 pagi.

Sebuah treler membawa muatan kayu terbalik melintang jalan akibat kejadian.

Jelasnya, sebaik tiba pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan dua treler yang  mana salah satunya membawa muatan kayu terbalik hingga melintang jalan sekali gus mengakibatkan empat lain kenderaan lain turut terlibat dalam nahas itu.

“Terdapat beberapa mangsa tersepit dan anggota kemudian melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

“Seramai 21 mangsa terlibat dalam kemalangan itu dengan seorang disahkan meninggal dunia, pemandu treler parah manakala lain-lain cedera ringan dan selamat.

“Selain dua buah treler, kejadian ini melibatkan kereta jenis Toyota Corolla, Perodua Bezza dan Proton Saga serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.17 pagi selepas pihaknya mendapati tiada lagi mangsa yang tersepit di bawah longgokan kayu dan di dalam kenderaan.

Pihak PLUS masih menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian.

Sementara itu, PLUS dalam ciapan laman Twitter memaklumkan 10.53 pagi, lorong menghala ke Utara masih ditutup bagi kerja pembersihan dan pengalihan treler yang terbalik menggunakan sebuah jentera. – MalaysiaGazette