Mohamed Khaled Nordin

SHAH ALAM – Bukan semua benda memerlukan sokongan dua pertiga, ada sesetengah perkara hanya cukup dengan majoriti mudah, kata Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, walaupun Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar dari blok kerajaan, tindakan itu tidak menggugat Kerajaan Perpaduan.

“Bukan semua benda perlukan dua pertiga (majoriti), sesetengah undang-undang (untuk meluluskan akta di Parlimen) hanya memerlukan majoriti mudah.

“Kerajaan perpaduan tidak terjejas dengan keputusan MUDA menarik balik sokongan kepada pemerintah meskipun kehilangan dua pertiga majoriti.

“Hanya kalau kita rasa nak pinda perlembagaan kita akan fikirkan tetapi kita tak boleh pinda Perlembagaan tiap-tiap hari kecuali bermatlamatkan sesuatu yang baik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Minggu TVET Digital di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti MUDA bertindak keluar dari blok kerajaan untuk berperanan sebagai pembangkang.

Beliau memberitahu, keputusannya itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat.

Dengan tindakannya itu, kerajaan perpaduan kini mempunyai 147 kerusi, manakala pembangkang 75 kerusi.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled percaya kalau politik itu tidak toksik, jika ada akta yang memerlukan keluluasn, semua parti akan memberi sokongan dan sekali gus dapat dua pertiga.

Ditanya adakah kerajaan tidak ada keperluan untuk meminda Perlembagaan dalam masa sekarang, beliau menjelaskan, secara khususnya apabila sampai masa nanti, kerajaan akan menelitinya.

“Ada perkara-perkara yang mungkin melibatkan reform sebagainya, misalnya pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, jika ada parti sebelah sana merasakan itu perlu untuk negara, mengapa tidak dia berikan sokongan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Syed Saddiq keluar dari blok kerajaan sebagai haknya. – MalaysiaGazette