Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Industri nadir bumi akan muncul sebagai sumber pertumbuhan baharu berasaskan unsur nadir bumi bukan radioaktif  mampan dan mesra alam yang diperlukan dalam pembuatan bateri, super magnet dan alatan elektronik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri itu dijangka menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada Kadar Dalam Negara kasar (KDNK) negara pada tahun 2025 dan mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan.

“Bagi mencapai sasaran ini, Dasar Mineral Negara baharu akan dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban.

“Kebijakan ini akan dijadikan panduan dalam melaksanakan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan.” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menambah, pemetaan terperinci sumber unsur nadir bumi dan model perniagaan menyeluruh yang menggabungkan industri huluan, pertengahan dan hiliran akan dibangunkan bagi mengekalkan rantaian nilai nadir bumi di dalam negara.

“Oleh itu, Kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan yang maksimum buat negara,” katanya.

Isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) pernah menjadi kontroversi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Kedah bulan lalu. – MalaysiaGazette