Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu melaksanakan bantuan kewangan melalui baucer bagi pembelian beras secepat mungkin.

Ia merupakan pelan jangka pendek bagi membantu rakyat yang kini sedang menghadapi tekanan terhadap kenaikan harga makanan ruji itu, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Menurutnya, kenaikan harga beras import dan ketiadaan beras tempatan di pasaran merupakan isu yang terus membelenggu rakyat meskipun kerajaan memberikan jaminan stok beras masih ada.

“Isu kekurangan bekalan beras tempatan terus meruncing. Kesannya, harga beras import turut meningkat akibat pasaran global. Yang paling terkesan adalah rakyat B40.

“Harga beras import naik, ini realiti. Apa yang patut dilakukan oleh kerajaan?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, berdasarkan tinjauan di beberapa buah pasar raya, harga jualan beras import membabitkan beberapa jenama merekodkan peningkatan sehingga mencecah 40 peratus berbanding sebelum ini.

Ada jenama beras import yang melonjak hingga RM75 untuk 10 kilogram, katanya.

Tambah beliau, mekanisme yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini perlu lebih realistik dan menteri bertanggungjawab tidak seharusnya menunggu hingga sebulan untuk melihat kepada keberkesanan memulihkan bekalan beras putih tempatan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Shahir turut mencadangkan supaya diwujudkan stok bekalan makanan ruji untuk beras tempatan melalui penggabungan negeri-negeri pengeluar-pengelur beras utama di negara ini dan memutuskan rantaian kartel beras serta orang tengah sebagai pelan jangka panjang.

“Kita sudah merdeka 66 tahun. Situasi yang amat malang dengan tiadanya daya upaya dan kebolehan kita untuk mewujudkan stok simpanan beras tempatan tanpa bergantung dengan beras import.

“Suatu anjakan perlu dilaksanakan oleh kementerian bertanggungjawab dalam usaha memerdekakan kebergantungan kita terhadap beras import,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast