Pegawai kerajaan mengikuti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK-12 2021-2025 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 11 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengadakan Kongres Ekonomi Bumiputera pada Januari depan dalam usaha menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini semua perancangan dalam agenda pemerkasaan bumiputera hanya memusatkan kayu ukur penyertaan kumpulan dalam ekonomi berdasarkan pemilikan ekuiti semata-mata.

“Selepas lima dasawarsa, pemilikan ini masih belum mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan.

“Maka, Ekonomi Madani melalui KSP RMK12 antaranya akan menilai semula pendekatan untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi bumiputera yang lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Anwar, usaha terbaharu itu bermakna bagi memperkasa bumiputera akan beranjak daripada tumpuan terhadap syarikat terpilih kepada program pengupayaan yang melibatkan lebih ramai usahawan dan lebih banyak syarikat bumiputera berskala kecil dan sederhana.

“Ini bagi melahirkan kelas pertengahan bumiputera yang dapat beralih daripada bergantung harap kepada gaji semata-mata kepada membina perniagaan yang meningkatkan pendapatan dan menambah nilai kepada ekonomi,” kata Perdana Menteri. – MalaysiaGazette