LONDON – Manchester United telah mengambil keputusan untuk menggantung Antony daripada tugasan kelab itu buat sementara waktu.
Antony turut mengesahkan bahawa dia sudah bercakap dengan kelab dan menerima keputusan untuk tidak perlu kembali ke kelab dengan segera.
Pemain sayap itu bersetuju dengan penggantunganitu kerana mahu memberi fokus kepada usaha mempertahankan diri daripada tuduhan ke atasnya.
Pemain antarabangsa Brazil itu kekal dengan pendirian menyatakan bahawa dia tidak pernah melakukan kesalahan memukul bekas pasangannya iaitu Gabriel Cavallin.
“Saya dan kelab telah mencapai persetujuan bersama tentang perkara ini (penggantungan sementara). Saya mahu mempertahankan diri saya daripada tuduhan yang tidak berasas ke atas saya.
“Saya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Antony sebelum ini dituduh melakukan penderaan domestik ke atas Gabriela Cavallin di mana bekas teman wanitanya itu turut menuduh United berkomplot menutup kesalahan Antony.
Jurucakap kelab sudah menafikan perkara itu dan berkata mereka buat masa ini akan mengambil pendekatan berkecuali terlebih dahulu.
Ini kerana kes Antony masih lagi dalam siasatan.
Berita terbaru itu pastinya tidak disenangi peminat United apabila sebelum ini kelab juga pernah menggantung Mason Greenwood ketika pemain itu disiasat atas tuduhan keganasan domestik dan merogol.
Berbeza dengan Antony, kes Greenwood memiliki bukti visual dan video yang dikongsikan di media sosial.
Namun kes itu digugurkan selepas mangsa bersetuju untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.
Bagi kes Antony, buat masa ini, buktinya masih samar dan peguam Antony turut menuduh Gabriela sudah beberapa kali mengemukakan kenyataan yang bercanggah.
Di atas padang, kesan ketiadaan Antony akibat digantung pastinya dirasai Erik Ten Hag kerana pemain posisi sama iaitu Jadon Sancho juga berdepan dengan kontroversi. – Agensi