Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Orang Melayu dikhuatiri akan kehilangan kuasa politik mereka di tanah air sendiri sekiranya mereka tidak keluar mengundi semasa pilihan raya.

Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, kelmarin.

Beliau juga bimbang dengan sikap orang Melayu yang tidak mengambil berat tentang kepentingan mengundi bagi mempertahankan dan memperkukuhkan kuasa politik Melayu.

“Walaupun orang Melayu sudah menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan memberi sokongan mereka kepada Perikatan Nasional (PN) tetapi akhirnya sikap tidak mahu keluar mengundi menyebabkan PN tewas pada PRK Parlimen Pulai serta DUN Simpang Jeram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi bagi PRK Parlimen Pulai adalah 47.33 peratus manakala PRK DUN Simpang Jeram pula mencatatkan 60.85 peratus.

Khairuddin percaya keputusan dua PRK tersebut mungkin berbeza sekiranya orang Melayu sedar mengenai kepentingan keluar mengundi beramai-ramai.

Beliau memberitahu, perkara itu yang merunsingkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hampir setiap hari mengingatkan orang Melayu tentang kepentingan mengundi bagi menjamin kuasa politik mereka terus kekal dan kuat.

“Gelombang sokongan Melayu pada PN sudah cukup kuat tetapi sikap ‘tidak apa’ orang Melayu masih berada di tahap yang membimbangkan,” jelasnya.

Khairuddin menambah, orang Melayu juga jangan bermimpi bahawa PH dan BN akan berani mempertahankan hak-hak orang Melayu secara mampan.

Beliau mendakwa, kedua-dua gabungan parti politik itu berpegang kepada konsep kepelbagaian kaum, liberal dan sekular.

“PH-BN sudah takut untuk membela orang Melayu secara jelas kerana masa depan politik mereka terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette