KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyalurkan sejumlah RM327,640 kepada 95 orang pelajar dari negeri ini yang bakal melanjutkan pelajaran ke Jordan dan Mesir tidak lama lagi.
Peruntukan tersebut meliputi tajaan tiket penerbangan dua hala selain bantuan wang saku berjumlah RM1,200 bagi setiap pelajar, kata Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain.
“Kita mengharapkan supaya mereka dapat belajar dengan baik di sana nanti dan tiada masalah kewangan. Dana tahun ini meningkat berbanding tahun lepas kerana tahun lepas hanya ada 39 orang pelajar yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan itu di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di sini hari ini.
Ahmad turut berbangga kerana terdapat 53 pelajar dari Pahang bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar tahun ini berbanding tiada seorang pun yang layak pada tahun 2022.
Beliau berharap dengan pemberian sumbangan ini dapat lebih menggalakkan semangat para pelajar untuk meneruskan pembelajaran sehingga ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, seramai 19 orang pelajar Kolej Yayasan Pahang (KYP), 14 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang, tiga pelajar persendirian lepasan SMK Pahang turut menerima sumbangan kerana melanjutkan pelajaran ke Jordan.
Difahamkan rombongan pelajar tersebut dijangka berlepas secara berperingkat bermula 20 September ini. – MalaysiaGazette