KUALA LUMPUR – Video viral perbuatan khianat sebuah kereta milik awam yang didapati dirosakkan di sebuah pusat membeli belah terkemuka di ibu negara pada akhir bulan lalu masih dalam siasatan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, semakan polis mendapati laporan mengenai kejadian itu telah dibuat pada 30 Ogos lalu oleh pemilik kereta berkenaan.
Mangsa mendakwa dia telah meninggalkan keretanya dalam keadaan berkunci baik di dalam tempat letak kereta pusat membeli belah tersebut.
“Ketika ingin pulang, mangsa terkejut mendapati keretanya mengalami kerosakan di bahagian cermin hadapan, bahagian kiri dan kanan kereta calar dan kemek serta cermin sisi rosak disyaki perbuatan khianat,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Tambah Ashari, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.
Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil segera dan boleh menyalurkannya kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” ujarnya. MalaysiaGazette