KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan TH Khairat, perlindungan takaful sebanyak RM12,000 kepada penerima manfaat sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal ke atas pendeposit dengan langganan tahunan serendah RM28.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar ketika berucap melancarkan skim itu berkata, inisiatif berkenaan merupakan komitmen dan langkah proaktif TH meringankan beban kewangan pendeposit.
Malah ia turut menggalakkan umat Islam menabung dan membuat persediaan awal dari segi kewangan agar urusan waris sewaktu dan selepas kematian dapat dilakukan dengan baik.
“Saya berharap agar usaha seperti ini akan mendapat sambutan dan sokongan ramai kerana menerusi TH Khairat ini, kebajikan dan kesejahteraan para pendeposit akan terus terpelihara kerana bantuan kewangan di masa sukar akan diberi apabila berlaku kematian kepada pendeposit,” katanya.
Mohd Na’im berkata, langkah yang diambil oleh TH itu juga teras kesejahteraan dan ihsan terhadap pendeposit TH serta mewujudkan kesedaran kepada masyarakat pentingnya amalan bersedekah yang boleh dilakukan melalui khairat tersebut.
“Khairat ini kepada pendeposit secara tak langsung telah mendidik masyarakat mengenai sedekah jariah. Dengan cara ini mereka dapat membantu waris yang akan ditinggalkan.
“Yang itu saya kaitkan dengan matlamat ihsan tadi. Pendeposit, sifat ihsan sedekah jariah dan TH khairat akan tunjuk rasa ihsan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman pula berkata, TH Khairat bukan sahaja memberi peluang kepada pendeposit untuk mempunyai perlindungan malah pendeposit juga dapat memberi sumbangan infaq.
“Pendeposit TH juga dapat memberi sumbangan infaq berjumlah RM2,000 (sebahagian daripada jumlah perlindungan TH Khairat) kepada pertubuhan atau organisasi kebajikan yang dilantik oleh pengendali Takaful,” ujarnya.
TH Khairat terbuka kepada semua pendeposit TH yang berumur seawal 30 hari sehingga 65 tahun dan yang ditaja jamin oleh Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT).
Bayaran RM28 adalah secara potongan terus daripada akaun TH secara tahunan dan pendaftaran boleh dilakukan dengan mudah sahaja melalui portal atau aplikasi THiJARI.
Pendeposit juga boleh mendaftarkan TH Khairat untuk akaun anak di bawah jagaan yang berumur di bawah 18 tahun di THiJARI. – MalaysiaGazette