Presiden BERSATU merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin beredar dari pejabatnya setelah dirakam keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengenai kenyataan 'fatwa' haram undi Suhaizan Kayat dalam PRK Pulai ketika di Pejabat MIDA, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 12 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selesai merakam keterangan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sebuah agensi kerajaan di KL Sentral, di sini, pada jam 10.25 pagi tadi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memberi keterangan kepada sepasukan pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) kira-kira sejam bagi membantu siasatan kes fatwa haram undi calon Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagaimanapun hanya melemparkan senyuman dan mengunci mulut apabila disapa petugas media yang mahu mendapatkan responnya mengenai proses siasatan itu.

Terdahulu, bekas Perdana menteri yang memakai baju kemeja lengkap suite hitam dengan tali leher biru bercorak menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna hitam tiba di agensi kerajaan itu pada jam 9.28 pagi.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin dalam satu ceramah di Johor mendakwa haram hukumnya mengundi calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September lalu.

Tindakan tidak mengundi Suhaizan itu, kata Muhyiddin, perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.

“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya berhubung hal ini, tanya ikut fatwa mana,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast