Johari Abdul

KUALA LUMPUR –  Tan Sri Johari Abdul menegaskan keputusan menolak usul tergempar dibawa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dibuat berdasarkan keputusan yang pernah dibuat  Dewan Rakyat sebelum ini.

Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, keputusan sama pernah dibuat Datuk Azhar Azizan Harun yang menolak dua usul dikemukakan oleh dua ahli Parlimen pada 2021.

“Pada 23 Julai 2021, Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun telah menolak dua usul yang dikemukakan oleh pertama, Beruas (Ngeh Koo Ham), kedua Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk membincangkan isu tertentu.

“Semasa itu isu proklamasi darurat tapi Azhar, saya berpandukan kepada dia, dia tidak boleh membenarkan kerana peraturan mesyuarat 11 (3). Termaktub dengan jelas yang menentukan ialah Perdana Menteri.

“Saya mengambil precedent itu mengatakan ini adalah sidang khas, peraturan 11 (3) yang menentukan ialah Perdana Menteri. Maka apa yang termaktub dalam syarat-syarat yang diletakkan itu,  saya ikutlah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Johari berjanji akan tetap memberi ruang kepada Shahidan dan Wan Ahmad Fayhsal untuk bercakap berhubung usul tergempar dibawa mereka.

Jelasnya, ruang bercakap selepas pembentangan Perdana Menteri bukanlah bermakna terhad pada hari Isnin semata-mata sebaliknya terbuka juga untuk hari lain sehingga persidangan khas selesai.

Johari menegaskan, beliau tidak mahu isu tersebut dibangkitkan lagi selepas beliau membuat ketetapan yang muktamad terhadap usul berkenaan.

Sebelum itu, Wan Ahmad Fayshal dan Shahidan mahu membawa usul tergempar isu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tapi tak dibebaskan oleh mahkamah dalam kes rasuah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hsrap ada sidang dewan tergempar untuk me.bincangkan kes TSMY., SHAHIDAN KASSIM DAN SYED SADDIQ. Ia berkaitan rasuah dan penguhahan wang haram

Comments are closed.