KUANTAN – Lebih 600 pegawai dan anggota polis Pahang akan terlibat dalam penugasan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mereka yang terlibat telah menjalani beberapa siri latihan persediaan bagi memastikan proses pilihan raya kecil itu berjalan lancar
“Polis Pahang telah bersiap sedia untuk menghadapi PRK DUN Pelangai bermula pada hari penamaan calon pada 23 September ini, tempoh kempen, undi awal hingga hari pengundian yang ditetapkan pada 7 Oktober depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang dan Pelepasan Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
PRK DUN Pelangai ditetapkan 7 Oktober depan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun apabila pesawat yang dinaikinya terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Tambah Yahaya, seramai 30 anggota polis terlibat dengan undi awal dan bilik gerakan bagi PRK itu akan dibuka dua hari sebelum hari penamaan calon.
Menurutnya, pemantauan akan dilakukan bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan pilihan raya yang ditetapkan termasuk tidak menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja). – MalaysiaGazette