Nur Jazlan Mohamed

JOHOR BAHRU – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Sabtu lalu membuktikan Gelombang Hijau yang dibawa di Johor ditolak pengundi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kekalahan calon Pas menunjukkan gelombang hijau diibaratkan sudah diikat mati dan hanya mampu ditembusi di Selangor.

Jazlan juga menyifatkan Sanusi sebagai boneka dan ‘selebriti politik’berkata: “Kononya mereka bawa selebriti 15 minit Mat Sanusi untuk tawan PRK Pulai dan Simpang Jeram.

“Maka pung pung pang la Mat Sanusi bercakap sebagai selebriti politik PN untuk meraih undi orang Johor juga tidak berjaya untuk membawa kemenangan kepada blok berkenaan dalam dua PRK itu,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, walaupun PN menggunakan khidmat bekas pemimpin UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim namun pengundi di Parlimen Pulai dan Simpang Jeram lebih bijak membuat pilihan.

Tambahnya, Pas dan PN gagal untuk memahami cara pemikiran dan intelektual politik orang Johor yang menolak politik perpecahan, politik ketaksuban dan politik yang menggunakan agama sebagai senjata untuk meraih sokongan.

“Kan saya sudah kata cakap Mat Sanusi tak laku di Johor, Mat Sanusi bukan Bintang filem sebaliknya beliau pelawak yang sduah basi.

“Mereka (PN) ingat orang Johor mudah dipermainkan dan dipandang rendah macam Presiden Pas, (Tan Sri Abdul) Hadi Awang yang cakap orang Johor kurang faham politik Islam ketika PRN dulu,’’ katanya. – MalaysiaGazette