Sebahagian bandar Derna yang musnah akibat ribut Daniel yang mengakibatkan empangan runtuh. Foto Facebook

TRIPOLI – Pasukan penyelamat sedang bergelut untuk mengesan mayat-mayat penduduk yang telah dihanyutkan ke laut selepas banjir besar di Libya.

Sekurang-kurangnya 2,300 telah terbunuh, menurut pihak berkuasa ambulans di Derna, bandar yang paling teruk terjejas.

Dua empangan dan empat jambatan runtuh di Derna, menenggelamkan sebahagian besar bandar apabila Ribut Daniel melanda pada hari Ahad.

Kira-kira 10,000 orang dilaporkan hilang, kata Bulan Sabit Merah, dan angka kematian dijangka meningkat lagi.

Beberapa bantuan antarabangsa telah mula tiba, termasuk dari Mesir, tetapi usaha menyelamat terhalang oleh situasi politik di Libya, apabila negara itu berpecah antara dua kerajaan yang bertelagah.

Amerika Syarikat, Jerman, Iran, Itali, Qatar dan Turki adalah antara negara yang telah menghantar bantuan.

Rakaman video yang dirakam pada Ahad lalu, menunjukkan air memenuhi bandar itu, merosakkan kediaman dan harta benda penduduk.

Media-media tempatan melaporkan kisah-kisah mengerikan tentang orang dihanyutkan ke laut, manakala ada mangsa yang lain berpaut di atas bumbung untuk terus hidup.

Penduduk mendakwa, kejadian itu umpama tsunami, dipercayai berlaku selepas salah satu empaangan di selatan Derna runtuh, sekali gus meranapkan sebahagian besar bandar tersebut ke dalam laut.

Tentera laut dan penyelam dikerah untuk mencari mayat di laut.

Kerajaan Timur Libya berkata, siasatan telah dilancarkan untuk mencari punca mengapa banjir boleh menyebabkan kemusnahan sedemikian.

Bandar Soussa, Al-Marj dan Misrata turut terjejas akibat ribut tersebut.

Libya berada dalam kekacauan politik sejak pemerintah lama berkhidmat Kol Muammar Gaddafi digulingkan dan dibunuh pada 2011 – menyebabkan negara kaya minyak itu berpecah dengan kerajaan sementara yang diiktiraf antarabangsa yang beroperasi dari ibu negara, Tripoli, dan satu lagi di timur. – Agensi