Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh
KUALITI rangkaian internet pada hari ini telah memendekkan jarak dan masa antara tempat dan benua yang berjauhan sehingga segala urusan dapat dilaksanakan secara lansung dan waktu sebenar, berdepan secara maya dan telus. Sektor pendidikan adalah antara bidang yang paling banyak menerima manfaat dari segala fasiliti tersebut terutamanya di zaman pasca pandemik.
Berkemungkinan perkara itu juga antara hikmah yang dipelajari oleh pelajar dan para pendidik dari zaman pandemik hingga ke hari ini bagaimana memanfaatkan teknologi untuk tujuan pendidikan. Hari ini di separuh kedua tahun 2023, kesemua sekolah, kolej, universiti dan institusi pendidikan telah pun beroperasi secara fizikal sepenuhnya. Pembelajaran secara dalam talian telah menjadi satu alternatif terbaik sekiranya terdapat kekangan dan halangan dalam perlaksanaan fizikal.
Terkini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa sebanyak 95 program di 19 Universiti Awam bersedia untuk malaksanakan pengajian secara hibrid dan anjal di mana kuliah secara fizikal hanya diwajibkan ketika tahun satu dan tahun akhir sahaja. Faedahnya jelas dilihat dari jumlah kos pendidikan yang menjadi rendah, memberi ruang kepada
mahasiswa untuk bekerja dan melakukan pelbagai aktiviti yang tidak dapat dilakukan ketika di kampus. Ia akan dilaksanakan pada sesi pengajian 2023/ 24 yang akan datang.
Konsep pendidikan boleh diakses di mana-mana adalah satu konsep baharu yang boleh dipromosikan lebih jauh bukan sahaja kepada pelajar yang berada di pendalaman juga kepada pelajar di luar negara. Bagi program yang memiliki permintaan di peringkat antarabangsa, peluang ini akan meningkatkan potensi pengembangan program serta kepakaran tenaga pengajar disamping menjana pendapatan universiti.
Tradisi ilmuwan zaman berzaman
Bergerak seiring dengan perkembangan serta kemajuan, bidang pendidikan perlu mengoptimakan penggunaan teknologi dalam memantapkan proses penyebaran ilmu. Bidang keilmuan yang bermula dengan penulisan buku dan karya di atas kayu te,ah memperlihatkan transformasi penyebarannya setelah mesin cetak dicipta. Kematangan sesuatu bangsa itu pun dapat diasah hasil dari medium-medium ilmu yang semakin hari semakin maju. Juga kita pada hari ini yang berada dalam tempoh Revolusi Industri 4.0 yang seharusnya lebih mahir dalam penggunaan teknologi untuk pemantapan
ilmu dan sahsiah.
Seperkara yang perlu diingat, terutamanya dalam pendidikan atau pengajian ilmu-ilmu sastera seperti pengajian Islam dan cabangannya seperti pendidkan al-Quran, hadis, Syariah dan Usuluddin, ilmu itu bukan sahaja dipindahkan menerusi buku dan informasi, tambahan ilmu itu juga menerusi proses pembelajaran bersama pendidik, hubungan baik antara mereka, pengalaman secara lansung, observasi, latihan berterusan dan lainnya.
Memahami perkara di atas, pengajian dalam talian juga perlu mencari jalan alternatif untuk menghasilkan kesan yang hampir sama dengan pengajian bersemuka bagi menjamin matlamat utama pendidikan iaitu melahirkan manusia yang madani mental, jasmani dan Rohani itu dapat direalisasikan.
Pemindahan kemahiran insaniah
Menjadi satu kemestian bagi setiap kursus yang ditawarkan di universiti untuk menyediakan kemahiran boleh pindah seperti kemahiran insaniah. Ia boleh diterjemahkan dengan kemahiran , komunikasi dan juga menyelesaikan masalah. Kemahiran-kemahiran seperti ini tidak mudah untuk dipindahkan menerusi pembelajaran dalam talian.
Bayangkan sekiranya graduan satu hari nanti tidak dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran seperti ini sudah pasti kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin kecemerlangan mereka sebagai pekerja, majikan, pengurus dan juga
salah satu anggota masyarakat.
Pembelajaran secara fizikal akan memberi ruang yang lebih kepada para mahasiswa untuk berkomunikasi tanpa halangan tempat, masa dan talian yang mana akan wujud dengan mudah jika pembelajaran dijalankan secara dalam talian. Komunikasi yang betul adalah faktor utama kepada pembentukan sifat keyakinan diri, saling percaya mempercayai dan timbang rasa yang perlu disemai dalam setiap individu di negara ini bagi mencapai wawasan negara yang harmoni.
Perkara ini pasti sukar untuk diterjemahkan ketika proses pembelajaran dikendalikan secara dalam talian. Kewujudan pelajar dalam sistem maya sukar dipastikan apatah lagi ingin memastikan ilmu yang disampaikan itu benar-benar efektif.
Keberkatan ilmu
Pembelajaran secara fizikal atau konvensional adalah satu tradisi turun temurun yang telah melahirkan jutaan ilmuwan dan ulama dalam pelbagai bidang sejak ribuan tahun. Kaedah ini tidak lagi boleh dipertikaikan dalam keberkesanannya mendidik, membimbing dan mentarbiah manusia menjadi generasi yang sempurna. Bertepatan dengan matlamat setiap institusi pendidikan tinggi yang ingin melahirkan ilmuwan dalam pelbagai bidang, pembelajaran secara fizikal masih menjadi satu wadah yang lebih dipercayai bagi memenuhi matlamat tersebut.
Dalam pengajian Islam, mendampingi para guru adalah satu nasihat yang sering diingatkan kepada para pelajar yang ingin mendapat kefahaman yang tinggi dan mendalam dalam sesuatu disiplin ilmu. Kisah dan riwayat bagaimana para ulama terdahulu mendampingi guru-guru mereka seperti Imam al-Syafie dan Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Hammad adalah antara kisah yang masyhur
menunjukkan betapa tingginya impak keilmuan yang akan diperolehi oleh pelajar menerusi pendampingan bersama guru-guru mereka.
Hubungan secara langsung antara guru dan murid mampu membentuk keperibadian pelajar dalam memupuk adab-adab yang mulia seperti menghormati guru, pelajar, mengenal kemuliaan ilmu dan memuliakannya. Pendidikan secara bersemuka juga mengajar pelajar untuk lebih berusaha dan bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu serta menyempurnakan tugasan yang diberikan sekali gus mendidik mereka untuk merancang, berbincang, melakukan pencarian dan menganalisa topik yang diberikan.
Manfaat teknologi pintar berpada-pada
Tidak dinafikan penggunaan teknologi moden dan pintar telah dugunakan secara meluas dalam bidang pendidikan. Pada sesetengah keadan dan peringkat, pengajian dalam talian ini banyak membantu memudahkan serta mendekatkan sesuatu yang jauh seperti pengajian rentas benua serta aktiviti-aktiviti lain yang terkait dengan pendidikan seperti perbincangan, muktamar dan konvensyen yang boleh dilakukan serentak tanpa mengira zon waktu dan tempat.
Sekalipun begitu, teknologi ini hanyalah alat yang direka cipta oleh manusia bagi memenuhi keperluan manusia yang berubah mengikut zaman dan tempat. Sekiranya, teknologi itu memiliki keterhadan dalam menjalankan fungi asal pendidikan, sudah menjadi satu keperluan untuk para pendidik dan pelajar untuk kembali kepada metode yang diwarisi sejak zaman dahulu terutamannya
dalam bidang kritikal seperti pendidikan yang menjadi tulang belakang negara dalam melahirkan rakyat dan tenaga pekerja yang produktif dan progresif.
Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya