Allaudeen Abdul Majid

KUALA LUMPUR – Polis masih belum menerima sebarang notis pemberitahuan awal tentang penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia yang bakal diadakan di ibu negara pada hari Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya akan mengambil segala tindakan  berlunaskan undang-undang sekiranya masih terdapat sebarang aktiviti yang mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Sebarang notis pemberitahuan mengenai apa jua aktiviti himpunan perlu disertakan dengan melampirkan surat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemilik lokasi di mana perhimpunan itu bakal diadakan pada 16 September ini nanti.

“Setakat ini kita tidak menerima sebarang notis pemberitahuan daripada pihak penganjur untuk mengadakan ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’.

“Sekiranya penganjur masih berdegil mengingkar nasihat polis dan mahu berhimpun juga Sabtu ini, kita akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka seperti yang termaktub di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 ,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Allaudeen juga menambah, secara kebiasaan notis pemberitahuan tentang sebarang program di ibu negara di bawah kawasan seliaan DBKL harus diserahkan antara empat hari sebelum tarikh sesuatu program itu diadakan.

“Kini dengan hanya berbaki tiga hari lagi menjelang Sabtu, kami menganggap tidak menerima sebarang pemakluman daripada mana-mana penganjuran perhimpunan,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan, notis pemberitahuan penganjur mengenai sesuatu program perhimpunan seharusnya dimaklumkan kepada pihak berkuasa kerana ia memudahkan polis untuk menyelaras kelancaran sesuatu perhimpunan itu.

Katanya, penganjur sebenarnya harus mempunyai tanggungjawab bersama untuk memaklumkan mengenai penganjurannya lebih awal.

“Penganjur wajib memberitahu pihak berkuasa agar berlunaskan undang-undang dan peraturan, polis boleh menyelaras dan memastikan ketenteraman awam tidak tergugat dan pada masa sama kelancaran trafik dapat dijamin.

“Bukan penganjur sahaja yang mempunyai hak, warga Kuala Lumpur juga mempunyai hak di mana mereka akan keluar pada Sabtu untuk membawa keluarga keluar beriadah.

“Pihak polis tetap akan melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan dan setakat ini, kita tidak mempunyai perancangan untuk melakukan penutupan jalan disebabkan perhimpunan yang bakal berlangsung.

“Namun pihak polis sentiasa bersiap-siaga terhadap sebarang kemungkinan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan satu lagi perhimpunan oleh kumpulan ‘Baju Merah’ diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, Allaudeen meminta masyarakat menyerahkan perkara itu kepada polis untuk mengawasi kumpulan terbabit. – MalaysiaGazette