GEORGE TOWN – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam pek jus minuman khususnya untuk pelanggan pusat hiburan sekitar daerah Timur Laut selepas menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih di sekitar George Town pada Khamis lalu.
Serbuan di tiga lokasi berbeza bermula jam 7 malam itu turut membawa kepada rampasan 199 pek jus minuman berisi dadah methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM69,650.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki dan kekasihnya warga Vietnam di tepi jalan Persiaran Karpal Singh di sini.
Jelas beliau, berpandukan maklumat daripada tangkapan pertama sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut kemudian menyerbu sebuah rumah di Jalan Sungai Pinang di sini pada hari yang sama.
“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan membawa kepada penemuan 183 pek jus minuman disyaki berisi MDMA berjumlah RM64,050.
“Susulan itu, kita menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 31 tahun di hadapan sebuah premis di Pulau Tikus di sini sebelum merampas 16 pek jus minuman berisi MDMA, ketamin serta pil eramin 5,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut hari ini.
Menurut Saravanan, hasil siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak awal tahun 2023 dan masing-masing merupakan pengganggur.
“Siasatan lanjut mendapati satu pek jus minuman berisi MDMA itu dijual pada harga RM350 kepada pengunjung pusat hiburan dan suspek dipercayai memperoleh keutungan separuh dengan penjualan setiap satu pek.
“Bagaimanapun, kita masih menyiasat sama ada dadah ini dibawa ke suspek ke pusat hiburan atau membabitkan pengusaha pusat hiburan.
“Selain itu, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan suspek lelaki bagi tangkapan pertama mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM102,790 dan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 1,032 penagih dadah jika ia berjaya dipasarkan.
“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette