GEORGE TOWN – Sebanyak 5,335 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di negeri ini sejak Januari hingga Sabtu lalu.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, jumlah kes tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus berbanding tahun lalu sebanyak 6,267 kes.
Jelas beliau, setakat ini, tiada sekolah mahu pun pusat jagaan ditutup di negeri ini membabitkan kes HFMD.
Majoriti kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 4,298 kes (80.6%), bagi kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun seramai 803 kes (15.0%) dilaporkan manakala selebihnya 234 kes (4.4%) melebihi umur 12 tahun.
“Peningkatan kes HFMD dikesan pada minggu epidemiologi (ME) 21 iaitu bermula 21 hingga 27 Mei.
“Meskipun banyak kes HFMD dilaporkan namun tiada kematian dicatatkan termasuk kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Daniel Gooi, 95.7 peratus kes HFMD berlaku di institusi-insitusi pendidikan dan pusat jagaan membabitkan kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Berdasarkan rekod sebanyak 50 tadika dikesan berlaku jangkitan HFMD dan diikuti dengan taska (33 kes), pra-sekolah (11 kes), tabika (11 kes) sekolah rendah (12 kes) dan pusat jagaan persendirian (4 kes).
Mengikut statistik daerah Timur Laut merekodkan kes tertinggi iaitu 1,507 kes dan diikuti dengan daerah Barat Daya (1,214 kes), Seberang Perai Tengah (1,062 kes), Seberang Perai Utara (800 kes) dan Seberang Perai Selatan (752 kes).
“Sehubungan itu, saya nasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa serta pusat penjagaan kanak-kanak untuk menjaga tahap kebersihan dengan mengalamkan tabiat cuci tangan dengan sabun bagi mengelakkan anak mereka dijangkiti HFMD,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, sebanyak 246 tadika, 60 taska, 52 pusat asuhan di Pulau Pinang yang masih belum berdaftar.
Katanya, setakat ini hanya 287 tadika berdaftar diikuti taska (126) dan pusat jagaan (96).
“Pusat jagaan yang sah dan berdaftar membolehkan pihak berkuasa memastikan kebersihan, keselamatan dan standard pendidikan dipatuhi serta dapat kurangkan risiko penularan penyakit.
“Jadi, ibu bapa disaran supaya menghantar anak mereka ke pusat jagaan yang berdaftar,” katanya. – MalaysiaGazette