KUALA LUMPUR – Datuk Ahmad Amzad Mohamed Hashim (PN-Kuala Terengganu) menggesa Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menarik balik kenyataannya apabila menuduh beliau dengan amalan rasuah.
Beliau yang berang dengan kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat itu menyifatkan, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sebagai satu penghinaan kepada mahkamah dan beliau sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Katanya, apa yang diperkatakan oleh Mohd Sany itu telah menyimpang daripada warta keputusan mahkamah yang tidak membabitkan beliau dengan kesalahan amalan rasuah dan ia terkandung di dalam warta penghakiman yang tidak menamakan mana-mana pihak.
“Semalam sewaktu perbahasan oleh Yang Berhormat Besut, Yang Berhormat Hulu Langat telah mencelah. Pencelahan dia ni telah viral di media sosial.
“Saya petik kata-kata Yang Berhormat Hulu Langat…mahkamah putuskan ada isu berlaku kesalahan dan kemenangan Parlimen Kuala Terengganu dibatalkan.
“Baru-baru ini diadakan Pilihan Raya Kecil dan kemudian PN (Perikatan Nasional) mencalonkan semula calon yang telah didapati melakukan amalan rasuah, amalan sogokan bagi duit.
“Ini adalah menyimpang daripada warta keputusan hakim mahkamah yang tidak membabitkan saya dengan kesalahan amalan rasuah dan ini ada di dalam warta penghakiman yang mana hakim telah menyatakan beliau tidak menamakan mana-mana pihak.
“Ini adalah menghina keputusan mahkamah, menghina saya sebagai wakil rakyat di Kuala Terengganu,” katanya pada sesi perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Amzad menegaskan, apa yang disabitkan adalah perkara yang berkaitan dengan program kerajaan dan mahkamah mempunyai fakta yang sama.
Malah katanya ,Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri menyatakan pemberian geran inisiaitif kerajaan yang dikaitkan dengan tuduhan terhadapnya tiada unsir rasuah.
“…ini adalah menghina saya sebagai ahli Parlimen Kuala Terenggnu, saya minta tarik balik,” tegasnya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor meminta agar Ahmad Amzad membuat usul di bawah peraturan 36 (6) sebagaimana yang dibangkitkan iaitu mengeluarkan sesuatu sangkaan jahat terhadap ahli lain seperti mana dilakukan oleh Mohd Sany terhadapnya.
Langkah itu kata beliau, disebabkan tuduhan berkenaan dilakukan pada hari semalam dan bukannya berlaku pada hari ini.
Cadangan, Ramli tu disambut baik oleh Ahmad Amzad yang memberitahu, beliau akan berbuat demikian. – MalaysiaGazette