Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hadir bagi meninjau beberapa set tren baharu milik PRASARANA bagi LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen LRT Universiti, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 14 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) menyasarkan kekerapan tren setiap tiga minit dicapai menjelang akhir Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sasaran itu selaras dengan penambahbaikan berterusan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan anak syarikatnya Rapid Rail selaku pengendali perkhidmatan rel utama di Lembah Klang.

Kata beliau, bermula hari ini, tiga tren baharu beroperasi di LRT Laluan Kelana Jaya dengan kekerapan perkhidmatan laluan ketika ini kurang daripada empat minit pada waktu puncak.

“Pengoperasian tren baharu ini akan terus menambahbaik kekerapan tren di laluan tersebut dengan sasaran kekerapan tren setiap tiga minit pada akhir bulan depan.

“Tiga tren ini merupakan sebahagian daripada perolehan 27 unit tren baharu dengan Kumpulan tren pertama bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV27) bernilai RM1.72 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau penerimaan tiga set tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen LRT Universiti di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menaiki tren baharu itu di Stesen LRT Universiti ke Stesen LRT Pasar Seni dan beramah mesra dengan penumpang bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkhidmatan itu.

Menurut Loke, di bawah projek KLAV27, Prasarana dan Rapid Rail memperoleh 27 tren baharu dengan kumpulan tren pertama telah diterima secara berperingkat bermula September 2020.

Ujar beliau, sebanyak 11 tren telah diterima setakat ini dengan kekerapan laluan tersebut ketika ini telah ditambah baik menjadi kurang daripada empat minit pada waktu puncak.

“Baki 16 tren lagi akan diterima secara berperingkat dari September 2023 hingga Disember 2024.

“Dengan penambahan tiga unit tren baharu ini dan juga pelaksanaan inisiatif penyelenggaraan Rapid Rail ke atas komponen kritikal, LRT Laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan purata sebanyak 44 unit tren pada waktu puncak, berbanding 38 unit sebelum ini.

“LRT Laluan Kelana Jaya, yang menyambut ulang tahunnya yang ke-25 tahun bulan ini telah memulakan operasi pada 1 September 1998,” kata beliau.

Menurutnya, ia merupakan laluan paling sibuk antara jajaran rel di bawah kendalian Rapid Rail dengan purata 250,000 penumpang sehari.

“Laluan ini melalui kawasan berkepadatan tinggi di sekitar Lembah Klang termasuk segitiga emas Kuala Lumpur.

“Rapid Rail akan memastikan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bagi LRT Laluan Kelana Jaya serta laluan di bawah kendaliannya akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast