Anuar Abd Manap

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor digesa membuat kajian untuk menggariskan peraturan yang membolehkan kredit karbon atau urus niaga karbon di laksanakan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Anuar Abd Manap berkata, ia penting kerana hasil daripada cukai (kredit karbon) akan membolehkan kerajaan mendapat dana yang boleh disalurkan sebagai peruntukan bencana negeri.

Beliau berkata, kredit karbon boleh dilaksanakan di Johor menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya melibatkan permohonan pembangunan daripada pihak industri.

“Mana-mana industri yang dilihat melepaskan karbon yang cukup banyak sebenarnya, mereka perlu membayar semula nilai karbon yang mereka lepaskan itu kepada kerajaan, tidak kiralah kerajaan negeri atau kerajaan pusat.

“Ini secara tidak langsung akan memberikan pendapatan tambahan kepada pihak kerajaan dan pendapatan itu, kita boleh gunakan untuk membantu hal-hal berkaitan (pengurusan) bencana yang disebabkan perubahan iklim,” kata beliau kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam rundingan berhubung kesan perubahan iklim dan pengurusan bencana negeri Johor semasa persidangan DUN Johor, pelaksanaan kredit karbon antara 10 syor yang dikemukakan Anuar, yang mewakili jawatankuasa tersebut.

Beliau berkata, jawatankuasa juga mencadangkan kerajaan negeri memberikan peruntukan kepada Jabatan Meteorologi Malaysia Negeri Johor bagi penambahan Stesen Meteorologi Automatik Auksiliari di seluruh negeri.

“Bagi menambah baik tadbir urus di pusat pemindahan sementara (PPS), kerajaan negeri dicadang mewujudkan satu pangkalan data bersepadu yang mengandungi segala maklumat berkenaan pengurusan banjir termasuk senarai nama ketua isi rumah yang terlibat banjir.

“Pangkalan data ini hendaklah sentiasa dikemas kini dan boleh digunakan bagi tujuan proses bantuan penyelamatan dan juga proses bantuan wang ihsan pasca banjir,” tambahnya.

Jawatankuasa tersebut turut mencadangkan agar ada peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan tahunan untuk Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor bagi kerja-kerja penyelenggaraan saliran, sungai dan perparitan selain peruntukan kecemasan kepada Pejabat Daerah agar pengurusan situasi banjir dapat dilaksanakan secara efisien. – MalaysiaGazette